utama

Siti Sarah janji tidak terbabas lagi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

KESIBUKAN kerja serta kurang disiplin dalam pemakanan membuatkan penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 33, sakit sehingga dikejarkan ke hospital, 28 November lalu.

Penyanyi Kesetiaan itu berkata, sebagai manusia biasa walaupun menjaga kesihatan ada kalanya terbabas juga.

“Saya akui sekarang kurang rehat kerana jadual sangat padat. Dari segi pemakanan, saya kurang minum air membuatkan tekanan darah jadi rendah,” katanya kepada Harian Metro.

Pada malam kejadian, Sarah akui hampir pengsan sebelum dikejarkan ke hospital.

Sarah yang sebelum itu demam dan sesak nafas, dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan mengalami tekanan darah rendah.

Ibu tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin itu bersyukur hanya ditahan sehari di hospital.

“Saya dipantau doktor dan dimasukkan air. Alhamdulillah, esoknya boleh balik dan berehat di rumah apabila tekanan darah stabil.

“Selepas ini saya akan lebih memberi tumpuan menjaga kesihatan walau pun sibuk bekerja. Saya akan cuba disiplinkan diri,” katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 6:36pm
d