utama

Kalau dah rezeki...

Oleh Syanty Octavia Amry

Tempoh dua tahun mungkin terlalu awal bagi penyanyi baru yang berjaya membawa lagunya ke Anugerah Juara Lagu (AJL), namun kata orang kalau sudah rezeki tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.

Bagi Syamel, 24, dia bersyukur apabila dua lagunya, Lebih Sempurna dan Akan Cinta serentak ke final AJL32 yang berlangsung Februari tahun depan.

Syamel juga berduet dengan Ernie Zakri dalam lagu Akan Cinta.

Tiada istilah balas dendam, tetapi ia lebih kepada ‘move on’ kerana baginya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Orang melihat mungkin saya melalui jalan mudah untuk ke final AJL. Hakikatnya saya bekerja keras sehingga peringkat ini.

“Tahun lalu lagu Hidup Dalam Mati hampir ke final, tetapi tiada rezeki saya waktu itu. Daripada saya terus bersedih lebih baik saya tampil dengan lagu lain.

“Alhamdulillah tidak sangka dua lagu saya berjaya ke final. Mungkin ini kerja keras Erni juga,” katanya.

Syamel berkata, sebagai penyanyi tidak kira masih baru atau lama, semua orang perlu bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu.

“Pada saya peluang yang datang itu tidak mengenal artis baru atau lama. Jika kita berusaha pastinya kita layak untuk berada di tempat itu.

“Begitu juga dengan lagu-lagu ini, saya anggap ini usaha dan kerja keras saya dengan Erni,” katanya.

Cuba memberikan yang terbaik terhadap kedua-dua lagu itu, Syamel tidak menyasarkan mana-mana lagu untuk menang.

Baginya, kedua-dua lagu itu punya kekuatan dan kelebihannya sendiri. Oleh itu, dia akan cuba memberikan tumpuan sama rata.

“Saya cuba berikan yang terbaik untuk kedua-dua lagu ini. Pada saya jika orang lain puas hati dan saya sendiri puas hati, ia sudah cukup memadai.

“Dapat ke final pun sudah cukup bermakna dan ia perkara terbesar dalam hidup saya,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pandangan sesetengah orang yang beranggapan bahawa Syamel tidak tahu bermain muzik, dia mengakui perkara itu namun mempunyai minat menghasilkan lirik.

“Saya terima setiap pandangan yang orang berikan. Tetapi, saya akui minat menulis lirik. Sudah banyak lirik saya hasilkan ada dalam simpanan.

“Minat itu sudah lama ada kerana bagi saya apabila perlu saya boleh hasilkan lirik sendiri tanpa menunggu lagu daripada orang lain.

“Sekurang-kurangnya saya lebih berpuas hati apabila dapat menghasilkan lagu yang saya suka dan sesuai dengan diri saya,” katanya.

Usia 24, Syamel mahu beli aset

Pada usia yang masih muda pasti banyak impian dan begitu juga dengan Syamel.

Baginya jika diikutkan usia muda dia mahu membeli kereta dan motosikal berkuasa tinggi.

Namun dia harus sedar diri, bekerja keras biar berbaloi mendapatkan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Meraikan hari lahir ke-24 tahun, baru-baru ini, Syamel berharap dapat membeli sebuah rumah selewat-lewatnya tahun depan.

“Kalau ikut perasaan muda saya sekarang, semua hendak saya beli. Rasa hendak beli kereta dan motosikal kerana saya memang minat.

“Tetapi saya perlu fokus dan utamakan apa yang perlu dulu. Jadi saya lupakan hasrat itu seketika dan saya cuba menyasarkan membeli rumah dulu.

“Saya sudah mula mencari-cari dan insya-Allah tahun depan saya akan uruskan semuanya,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 7:44am
d