utama

Terima kasih tularkan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Wany Hasrita, 25, menafikan mesej tular di laman sosial sejak semalam membabitkan peminat meminta tajaan bagi menjayakan sambutan ulangtahunnya pada 23 Disember ini adalah jawatankuasa kelab peminatnya.

Wany atau Nursyazwany Hasrita Hasbullah berkata, individu yang menghantar mesej kepada penaja dan dikatakan tidak beradab itu bukan daripada ahli jawatankuasa (AJK) kelab peminatnya, Wanyhasnizers.

Katanya, nombor telefon yang digunakan individu itu tidak ada dalam senarai daftar AJK atau ahli kelab peminatnya.

“Apabila perkara ini tular, ketua kelab peminat menghubungi pihak itu meminta nombor telefon individu terbabit.

“Malangnya nombor itu tidak wujud dalam senarai ahli dan saya beranggapan dia orang luar. Saya tidak mahu tuduh apa motif sebenar dia berbuat sedemikian. Sama ada mahu sabotaj atau ada agenda lain, saya pun tak tahu.

“Cuma saya berterima kasih kepada pihak yang tularkan perkara ini kerana dalam tempoh dua jam, banyak pihak sudi bekerjasama. Saya berasa ini satu hikmah dan rezeki daripada Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Wany juga beranggapan pihak berkenaan tidak sepatutnya menularkan mesej itu kerana ia perkara kecil.

“Perkara ini boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu membangkitkan isu terbabit seolah-olah ia satu masalah besar.

“Kalau hendak bercakap soal adab, saya pernah dapat mesej lebih teruk lagi daripada pihak yang ingin menawarkan persembahan. Memikirkan ia hanya perkara remeh, saya diamkan saja.

“Pun begitu, saya tak mahu salahkan pihak yang tularkan perkara ini kerana ia hak masing-masing. Tidak pasti pula kalau disebabkan nama saya, mereka sengaja berbuat sedemikian,” katanya.

Kata Wany, dia juga tidak perlu menekankan soal adab kepada AJK kelab peminatnya kerana mereka individu profesional berdasarkan pengalaman mengendalikan beberapa artis lain.

“AJK kelab peminat ada menunjukkan contoh mesej yang dihantar kepada pihak tertentu bagi memohon tajaan. Mesej berkenaan jauh berbeza daripada apa yang tular.

“Selepas apa terjadi, saya tidak meminta mereka memuat naik sebarang status bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Saya tidak perlu berbuat sedemikian. Apa yang penting, kami tahu perkara sebenar,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 11:25am
d