utama

Thanabalan dah tak sabar

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penyerang muda sensasi skuad bawah 22 tahun negara (B-22), N Thanabalan bersedia untuk memainkan peranan penting selaku peledak utama pasukan Negeri Sembilan yang akan beraksi di Liga Super musim depan.

Dia mengakui perlu berusaha gigih bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama dan perlu membuktikan kemampuannya dengan membantu kemenangan pasukan.

“Selain memastikan dapat beraksi dalam setiap perlawanan sepanjang musim depan, saya juga mahu memainkan peranan berkesan dengan menjaringkan lebih banyak gol dan seterusnya memastikan Negeri Sembilan mencatat kejayaan.

“Peluang beraksi dalam saingan Liga Super tidak boleh disia-siakan. Negeri Sembilan perlu menunjukkan satu persembahan yang bertaraf lebih tinggi berbanding ketika beraksi dalam Liga Perdana.

“Ini kerana pentas Liga Super menjanjikan laluan sukar untuk setiap pasukan mendapatkan kemenangan dan sebagai pemain yang berada di barisan depan, saya berharap dapat menjaringkan gol,” katanya.

Kelibat Thanabalan mula mencuri tumpuan ketika membantu skuad B-22 negara mara ke pentas final temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Pemain kelahiran Rantau itu ketika ini sedang melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun yang akan berlangsung di China, bermula 9 Januari depan, di bawah bimbingan pengendali Datuk Ong Kim Swee.

Thanabalan yang kembali bersama skuad Hobin Jang Hobin selepas dipinjamkan kepada FELCRA FC bagi saingan Piala FAM 2017, akui akan wujud saingan lebih sengit daripada kalangan pemain untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan berkenaan.

“Saya ada sedikit pengalaman beraksi dalam Liga Super pada 2013 iaitu tahun terakhir sebelum Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana, tahun berikutnya. Walaupun ketika itu saya kerap memanaskan bangku simpanan dan sering turun sebagai pemain gantian serta beraksi hanya dalam tempoh antara 10 hingga 15 minit, tapi ia sangat bermakna,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 7:01am
d