utama

Dipenjara 27 tahun

Oleh AFP

Bangkok: Seorang bekas jurutera dipenjara 27 tahun oleh mahkamah di sini semalam kerana menanam bom paip di hospital kendalian tentera Thailand disebabkan terlalu bencikan pemerintah junta.

Sekurang-kurangnya 21 orang cedera dengan seorang daripada mereka parah, apabila peranti dipenuhi paku itu diletupkan di ruang menunggu di hospital King Mongkut Bangkok, 22 Mei lalu.

Tarikh itu jatuh pada ulang tahun ketiga tentera menggulingkan kerajaan diperintah Perdana Menteri Yingluck Shinawatra pada 2014.

Sejurus penangkapan itu, Wattana Phumret, 62, mengaku menanam peranti berkenaan di dalam pasu kerana mengganggap rampasan kuasa oleh tentera junta itu menggambarkan kebenciannya terhadap kerajaan.

Mahkamah mendapatinya bersalah terhadap beberapa tuduhan termasuk cubaan membunuh tetapi berjaya mengelak dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana mengaku bersalah.

Kejadian seumpama itu membabitkan serangan bom dan senjata api sering berlaku menjelang ulang tahun rampasan kuasa oleh tentera junta.

Bagaimanapun, tindakan seperti dilakukan Wattana jarang berlaku terhadap rejim tentera pada masa ini yang berjaya mengawal pengkritik serta mengukuhkan kuasanya.

Rampasan kuasa 2014 itu yang ke-12 berjaya dilaksanakan di Thailand sejak 1932.

Menurut tentera, mereka terpaksa merampas kuasa untuk mengakhiri keganasan dan ketidakstabilan yang melanda negara sejak 2006 ketika pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra ketika itu.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 7:41am
d