utama

Pulih kembali semangat diri

Oleh Georgie Joseph

Sejak pembubaran Azhael, bekas anggotanya, Azhar Osman seakan-akan menghilang daripada radar hiburan tempatan, sekali gus ramai tercari-cari dan tertanya-tanya adakah dia masih meneruskan kerjaya seninya.

Azhar, 29, ternyata mengambil masa untuk mengumpul semula kekuatan sambil merencanakan karier solo. Selesa bergerak sendiri, dia perlahan-lahan membina semula semangatnya untuk meteruskan perjuangan.

Menurutnya, dia kini semakin pasti dengan hala tuju kariernya di mana dia akan fokus kepada kedua-dua bidang lakonan dan nyanyian. Baginya, itulah azam pada 2018 untuk dia menaikkan semula namanya.

“Bukan merajuk, saya sebenarnya memberi masa kepada diri sendiri untuk melihat kembali perjalanan karier seni sebelum ini. Sepanjang tempoh itu, saya bersyukur masih ada tawaran dalam bidang seni.

“Walau apa pun, kini saya kembali bangkit untuk meneruskan kerjaya solo membabitkan bidang nyanyian mahupun lakonan. Saya memutuskan untuk mengukuhkan diri dalam kedua-dua bidang itu bermula sekarang.

“Tiada lagi istilah asalkan ada tawaran tetapi saya mahu pastikan dapat menyerlah sebagai penyanyi dan pelakon. Oleh itu, saya akan bekerja keras untuk membina semula nama, apa lagi ramai peminat mendorong serta menyokong saya terus ke depan,” katanya.

Apa yang pasti, Azhar mengakui dia banyak belajar daripada kesilapan dan pengalaman lalu. Menurutnya, dia akan memastikan semua itu menjadi teladan buatnya menjadi anak seni yang kental.

“Melihat kembali karier seni sebelum ini, saya akui banyak juga pengajaran yang saya dapat dalam industri. Saya terlalu naif dan tidak tetap dengan pendirian sehingga memberi kesan pada kelangsungan karier.

“Dari situlah saya mula menetapkan sebaik-baiknya bagaimana hala tuju terbaik dalam karier saya kini. Bagaimanapun, saya bersyukur tidak terlambat untuk kembali membina semangat diri,” katanya.

Azhar juga mengakui pembabitannya dalam AF Megastar tidak lama dulu membuka jalan buatnya kembali terutama dalam bidang nyanyian. Sebagai penyanyi solo, dia kini tampil lebih yakin.

“Sejujurnya saya tidak sangka pun dengan pencapaian dalam pertandingan itu. Cumanya, saya memang tahu kedudukan diri jika dibandingkan peserta lain dan dapat terpilih dalam kelompok Top 12 pun cukup membanggakan.

“Pertandingan itu cukup membuka mata saya untuk lebih yakin menyanyi secara solo. Bukan mudah namun sekurang-kurangnya platform itu memberi ruang untuk saya memperbaiki diri,” katanya.

Bagaimanapun, Azhar tidak menafikan dia cukup risau bergerak solo sebelum ini kerana terbiasa menyanyi berkumpulan. Padanya, dia lebih selesa sekiranya berada dalam kumpulan kerana dia sukakan cara begitu.

“Terus terang saya memang suka menyanyi dalam kumpulan dari zaman sekolah lagi. Saya tidak melihat kekuatan diri menyanyi secara solo meskipun ramai yang menyarankan begitu.

“Kini sudah tiba masanya untuk saya membuktikan kemampuan diri. Memang ia mengambil sedikit masa namun saya kini sangat bersedia dan teruja untuk menjadi penyanyi solo,” katanya.

Tuah buatnya, Azhar kini jadi buruan beberapa label yang menawarkan untuk menguruskan karier nyanyiannya. Ini termasuklah FMC yang menurutnya, dia mungkin akan bernaung di bawah label berkenaan.

“Saya yakin FMC boleh merealisasikan impian saya disebabkan sekarang pun ramai penyanyi yang mencetuskan fenomena juga bernaung di bawah mereka. Walaupun masih dalam pertimbangan, saya sangat positif label itu boleh melakukan sesuatu untuk karier nyanyian.

“Apa yang pasti, saya akan lebih berhati-hati dengan aspek pemilihan lagu di mana itulah sebenarnya penentu sejauh mana saya akan maju. Saya mahukan lagu yang benar-benar akan membawa saya ke tahap sebagaimana penyanyi hebat lain,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar juga dalam rangka memperkukuhkan lagi jaringannya dengan orang industri. Untuk lakonan contohnya, dia mahu lebih serius dan sentiasa mencari peluang terbaik mengembangkan nama sebagai pelakon.

“Memang agak mencabar juga, apa lagi sekarang saya tidak diuruskan mana-mana pengurusan. Bagaimanapun, saya ambil itu sebagai cabaran penting untuk memperkenalkan diri dengan ramai penggiat seni,” katanya.

Sebagai permulaan, Azhar bakal tampil membintangi drama berjudul Dahlia: Isteriku Mem Besar yang akan disiarkan di TV9 tidak lama lagi. Turut berlakon drama itu, Arash Mohd, Amyza Adnan, Mawar Rashid dan Amirul Faqeem.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 7:05am
d