utama

Perketat keselamatan GP Brazil

Oleh Reuters

Paris: Bos Formula Satu mencadangkan langkah keselamatan baru pada Grand Prix Brazil selepas staf pasukan dikejutkan dengan rompakan bersenjata sebaik saja meninggalkan sirkit itu, bulan lalu.

Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia di Paris semalam berkata, pemegang hak komersial membentangkan cadangan itu selepas menerima laporan berkaitan insiden di Interlagos.

Ia disyorkan penganjur perlumbaan supaya mengekalkan pakar keselamatan bebas untuk menilai dan memberi nasihat berkaitan langkah yang perlu diambil manakala polis ditugaskan di sirkit selain mempertingkatkan komunikasi antara setiap pihak.

“Majlis Dunia menggesa penganjur mengguna pakai cadangan ini dan meningkatkan situasi berkenaan sebelum perlumbaan tahun depan,” kata FIA.

“FIA sedia duduk berbincang bersama pihak berkuasa tempatan dan melihat secara dekat situasi ini.”

Juara dunia dari Mercedes, Lewis Hamilton adalah salah seorang yang terbabit dalam insiden di Interlagos itu yang mana dilaporkan terdapat bunyi tembakan.

Selain itu turut dilaporkan sepucuk senjata diacukan di kepala salah seorang petugas yang menuju ke sebuah van di luar sirkit.

Barangan berharga termasuk pasport dan telefon bimbit dilaporkan dicuri.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 7:39am
d