utama

'Strategi untuk Piala Thomas'

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui keputusan menggandingkan semula Goh V Shem-Tan Wee Kiong satu keputusan sukar tetapi ia perlu dilakukan demi memastikan Malaysia layak ke Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei depan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan itu juga strategi terbaik selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menetapkan peraturan baru dan menegaskan ia hanya untuk layak ke Piala Thomas saja.

“Memang kita merasakan keputusan ini sukar. Tapi, kita juga mesti melihat kepada pendekatan dan strategi untuk gandingan ini sedaya upaya mendapat mata yang banyak bagi memudahkan kita layak ke Piala Thomas.

“Ini strategi untuk Piala Thomas semata-mata. Selepas itu, kita mungkin menggunakan strategi lain.

“Terpulang kepada perbincangan antara saya di peringkat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) dan jurulatih,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Olimpian negara semalam.

Jelas Norza, V Shem-Wee Kiong yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio tahun lalu, akan segera digandingkan sekali gus beraksi pada kejohanan pertama, Januari depan.

Mereka kemudian akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia yang juga kempen kelayakan Piala Thomas yang berlangsung di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Februari.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai menerusi laporan sebelum ini berkata, kedua-dua pemain itu perlu digandingkan semula berikutan peraturan baharu kejohanan yang ditetapkan oleh BWF.

Badan induk itu menetapkan peraturan baharu untuk 2018, di mana tidak ada lagi pusingan kelayakan bagi kejohanan bertaraf Tahap 2 dan 3, manakala Tahap 4 dan 5, hanya menempatkan 28 pemain di undian utama termasuk lapan di pusingan kelayakan.

BAM tidak mahu mengambil risiko kerana kemungkinan gandingan baharu Wee Kiong-Ong Yew Sin dan V Shem-Ee Yi mungkin tidak layak beraksi di kejohanan Tahap 2 dan 3.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 3:13am
d