utama

Dia bagaikan bidadari...

Oleh Amniera Naziera Amran

Papar: “Orang lain melihatnya sebagai OKU (orang kurang upaya), namun di mata saya... dia adalah seorang bidadari,” kata Mohd Nasir Ahmad, 51, lelaki yang mahu menikahi Dg Patimah Matali, 46, gadis OKU cacat kaki dan tangan di Bongawan, dekat sini.

Lelaki yang bekerja sendiri ini tidak pernah menjadikan status wanita berkenaan sebagai penghalang untuk mereka mendirikan rumah tangga.

Pasangan ini sudahpun bertunang dua minggu lalu dan dijangka disatukan dalam majlis pernikahan di kampung isterinya di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, 12 Januari depan.

Mohd Nasir yang juga seorang duda dan dua kali berkahwin berkata, dia tidak memandang aspek fizikal semata-mata dan menerima bakal isterinya itu seadanya.

Malah, dia banyak belajar daripada kegagalan dua perkahwinannya yang terdahulu.

“Saya belajar daripada pengalaman lalu kerana sudah dua kali mendirikan rumahtangga, namun jodoh dengan dua bekas isteri tidak kekal. Saya juga tidak dikurniakan zuriat dalam perkahwinan terdahulu,” katanya ketika ditemui, dekat sini, semalam.

Menceritakan detik kali pertama mengenali Dg Patimah, Mohd Nasir berkata, mereka berdua mula bertemu apabila dia datang ke rumah keluarga wanita itu untuk membaiki kereta.

Katanya, sebelum itu, mereka tidak pernah bersua muka kerana dia tinggal di Kampung Malawaring manakala Dg Patimah berasal dari Kampung Nyaris-Nyaris.

“Pertama kali saya melihat dia, sudah terdetik di hati saya mahu memperisterikannya.

“Namun, hubungan kami mula rapat selepas bakal mentua, Matali Ismail, 87, dan Dayang Salmah Pangiran Hassan, 72, sering mengajak saya makan bersama-sama mereka, ” katanya.

Sementara itu, Dg Patimah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, dia bersyukur kerana menerima lamaran Mohd Nasir untuk menjadi isteri lelaki itu.

Katanya, sikap lelaki itu yang lemah lembut dan penyabar membuka hatinya yang sebelum ini pernah tertutup apabila ditinggalkan teman lelaki.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 3:21am
d