utama

Mata ditutup, dipukul

Oleh Faliq Lajim

PENYELIA kilang, S Jothimani, 49, yang diculik di kawasan tempat kerjanya di Kampung Jawa pagi semalam, ditemui selamat namun cedera pada beberapa anggota badan di kawasan kilang di Seksyen 36, Shah Alam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata wanita itu ditemui orang awam yang terdengar jeritan meminta pertolongan, kira-kira jam 10.30 malam.

"Siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan bersendirian di kawasan kilang dan menjerit meminta tolong.

"Ia kemudian didengari orang awam yang berada di situ dan menghantar mangsa ke sebuah hospital swasta di Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Menurut beliau, mangsa mendakwa tidak mengenali suspek berikutan kedua-dua matanya ditutup selain turut dipukul.

"Barangan miliknya seperti telefon bimbit turut dilarikan dan kita sedang mempergiatkan usaha mengesan suspek," katanya.

Kata Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Semalam, Jothimani didakwa dilarikan di hadapan kilang tempat kerjanya oleh tiga lelaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa menerima panggilan telefon memintanya keluar untuk mengambil barang yang dikatakan dibeli secara dalam talian.

Namun, ketika mahu mengambil barang berkenaan, dia dilarikan tiga lelaki menaiki sebuah kereta Mercedes.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 5:08pm
d