utama

5,000 datang kenduri kahwin Abam Bocey

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KIRA-KIRA 5,000 peminat dan penduduk setempat hadir memeriahkan majlis perkahwinan pelawak, Abam Bocey dan pasangannya di Taman Air Manis, Sabak Bernam hari ini.

Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 29, dan Nor Hidayah Mohd Ali, 26, yang berpakaian pengantin serba ungu itu bersanding pada 1.15 tengah hari.

Mereka masing-masing diapit ahli kumpulan Bocey, Achey dan Fad serta ibu Abam, Sabariah Arshad, 51.

Abam ketika ditemui Harian Metro menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada peminat yang hadir menjayakan majlis perkahwinannya itu.

"Saya tidak sangka menerima jumlah kehadiran tetamu yang ramai kerana pada mulanya menjangka hanya 1,000 orang.

"Biarpun keletihan, saya bersyukur dapat melaksanakan tanggungjawab ini dan pada masa sama menggembirakan hati orang ramai yang berkunjung ke majlis kami," katanya.

Semalam, tepat 5.40 petang, pasangan itu selamat diijabkabulkan di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.

Sementara itu, pemandu lori, Azlan Noordin, 34, berkata dia sekeluarga tidak melepaskan peluang menghadiri majlis perkahwinan pelawak terkenal itu walaupun datang dari jauh.

"Biarpun terpaksa memandu sejauh 350 kilometer dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, saya sanggup datang melihat persandingan Abam yang juga artis kesayangan kami sekeluarga," katanya yang ditemani isteri, Noorita Bakar, 35, dan anak mereka, Nur Alia Batrisya, 9.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 5:36pm
d