utama

Maut tunggang lawan arus

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DUA remaja maut apabila motosikal ditunggang mereka secara melawan arus, bertembung dengan kereta di Lebuhraya Kuala Perlis menghala Changlun, Kedah, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Muhammad Alif Asyraf Sebdil, 16, dan rakannya Muhammad Danial Syukur Yusri, 13, kedua-duanya dari Sungai Berembang, Kuala Perlis, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan mereka mengisi minyak di sebuah stesen di Utan Aji, Perlis, sebelum menunggang motosikal Honda EX5 secara melawan arus ke Lebuhraya Kuala Perlis menghala Changlun.

Bagaimanapun, kira-kira satu kilometer dari susur keluar berkenaan, motosikal mereka bertembung dengan Honda City dari arah Kuala Perlis menghala Changlun.

Kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan manakala kereta dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an, terbabas ke dalam parit.

Kakak Muhammad Danial Syukur yang enggan dikenali berkata, adiknya keluar dari rumah petang tadi untuk bersiar-siar bersama rakan di Arau.

“Ketika kejadian saya di Kuala Perlis dan mengetahui adik kemalangan selepas dihubungi rakan.

“Sejurus sampai di tempat kejadian, saya lihat jenazah adik ditutupi kain putih," katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Deputi Superintendan Rusli Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pihaknya meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 1:08am
d