utama

Syura hidap penyakit misteri

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI, Syura Badron mendedahkan menghidap penyakit misteri yang mulanya disangkakan penat biasa sejak beberapa bulan lalu.

Syura, 32, bagaimanapun menjadi risau apabila ramai orang terdekat menegur bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

Meskipun tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara bukan-bukan, penyanyi terbabit mengakui ada perkara pelik berlaku padanya.

“Saya perasaan dalam beberapa minggu ini suara saya pandai hilang pada waktu pagi. Kepala migrain secara tiba-tiba selain badan kebas sebelah.

“Saya sebenarnya tidak mahu fikir bukan-bukan. Namun saya tiba-tiba naik risau selepas terserempak dengan Datuk Fadzilah Kamsah beberapa minggu lalu.

“Dia serta merta bertanyakan keadaan saya sama ada saya ada mimpi buruk, sengugut, ataupun sakit lain. Dia juga katakan seram apabila melihat saya,” katanya.

Syura mengatakan penyakit pelik itu mula menimpanya sewaktu merakam lagu di Indonesia sekitar September lalu.

Walaupun dinasihatkan berjumpa pakar mengenai penyakit itu, kesibukannya bertanding dalam Gegar Vaganza 4 (GV4) mengehadkan masanya.

“Disebabkan penyakit itu, berat badan saya susut sebanyak 12 kilogram sebaik menyertai GV4. Apabila membuat persembahan pun saya tidak pernah berpeluh habis seperti mana kamu lihat saya di pentas.

“Saya ada perancangan untuk pergi bertemu pakar dan berubat. Bagaimanapun belum ada masa sesuai,” katanya.

Syura tersingkir daripada GV4 malam tadi selepas mendapat markah terendah sekali gus terlepas peluang berentap di pentas akhir minggu hadapan.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 12:18pm
d