utama

'Tak sangka boleh berlakon'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Segala-galanya bermula apabila menyaksikan persembahan Datuk Siti Nurhaliza di televisyen ketika dia berusia 11 tahun. Sejak itu, Jasper James Supayah menyulam impian untuk bergelar penyanyi.

Pergaulan dengan pelajar Melayu di sekolah membuatkan Jasper semakin jatuh cinta dengan lagu Melayu dan suka melayan drama dari negara jiran, Indonesia.

Keinginannya gadis jelita ini semakin membara apabila melihat Vince Chong, peserta bukan Melayu menjadi juara Akademi Fantasia musim pertama pada 2003 yang mencetuskan fenomena sehingga ke hari ini.

“Sejak itu, saya mengikuti Akademi Fantasia dan selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia, pernah beberapa kali hadir ke sesi uji bakat AF, namun malangnya tidak diterima.

“Percubaan kali keempat akhirnya membuahkan hasil apabila saya diterima sebagai peserta AF 2016 tetapi perjuangan tersekat apabila tersingkir pada minggu kelima,” katanya membuka cerita.

Tuah ternyata memihak kepadanya. Pakej sempurna yang ada pada gadis berdarah campuran India dan Cina ini menarik perhatian Datuk Aznil Nawawi untuk menawarkannya menyertai program On Air musim keenam.

“Selepas tamat AF, dalam fikiran saya hanya terbayang untuk kembali sambung belajar di sebuah kolej swasta di Johor Bahru.

“Tak sangka pula saya dan seorang lagi peserta AF, Riana diberikan peluang ini. Kami mula menjalani latihan selama enam bulan bermula November 2016 dan berakhir pada Mei tahun ini. Sekarang kami menunggu tawaran untuk mengacara,” katanya.

Pasti ramai bersetuju AF adalah platform terbaik untuk mencari peluang dalam industri hiburan tanah air.

Tidak terkecuali, Jasper turut mengecapinya apabila mula diintai produksi lakonan dan kini sudah bergelar pelakon.

“Ikutkan, saya lebih cenderung dengan muzik. Bagaimanapun, tak salah jika mahu menceburi cabang seni lain dan ketika berada dalam On Air, saya hadir ke uji bakat drama Semusim Rindu.

“Sebaik komitmen dengan On Air tamat, jadual saya terus diisi dengan penggambaran drama ini. Tak sangka pula saya boleh berlakon,” katanya.

Bintangi Polis Evo 2

Menerusi drama 40 episod yang sudah ditayangkan di saluran Astro, Jasper melakonkan watak antagonis sebagai Yuhanis yang berjaya menarik perhatian penonton.

“Kalau pertama kali orang jumpa, pasti ingat saya sombong, kerana itulah saya diberikan watak begini dalam Semusim Rindu.

“Memanglah teruk kena kecam tapi bagi saya ia satu kejayaan. Ia bukti lakonan saya dapat dirasai penonton. Selepas ini harap dapat peluang cuba pelbagai watak,” katanya.

Rezeki terus menyebelahinya apabila ditawarkan membintangi filem Polis Evo 2 dan ia peluang keemasan untuk lebih dikenali.

“Saya pergi ke sesi uji bakat filem ini ketika masih bersama On Air. Saya hanya mencuba nasib dan tidak meletakkan harapan tinggi.

“Lama juga saya tunggu jawapan sampaikan terfikir mungkin tiada rezeki kerana ramai lagi artis popular yang hadir ke uji bakat,” katanya.

Jasper mengakui seakan-akan tidak percaya apabila dihubungi wakil produksi dia terpilih menjayakan Polis Evo 2.

“Siapa yang tak gembira kerana ini filem hebat dan dapat perhatian peminat. Barisan pelakonnya pun bukan calang-calang.

“Bagi menjayakan watak, saya kena diet dan berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram,” katanya.

Menurut Jasper, dia percaya tawaran ini membuka dimensi baru dalam kariernya dan mampu membawanya pergi lebih jauh dalam dunia lakonan.

“Saya bersyukur kerana bukan mudah untuk artis bukan Melayu menjayakan drama dan filem Melayu. Orang mungkin tak perasan saya berdarah kacukan kerana nampak macam Melayu.

“Bahkan ketika dalam AF pun orang lebih kenal Reshma. Bagaimanapun, bagi saya ia satu cabaran untuk berjaya,” katanya.

Mengenai karier nyanyian pula, Jasper menjelaskan dia akan tampil dengan single pertama tidak lama lagi.

“Komposer Sharon Paul sedang menyiapkan single saya. Sebenarnya saya masih mencari identiti dalam nyanyian,” katanya yang juga peminat setia Datuk Siti Nurhaliza.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 5:44am
d