utama

Susu tiruan: Kes terpencil je...

Oleh Hayati Ibrahim

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menunggu laporan kimia untuk mengesahkan sama ada susu rumusan bayi yang dirampas di kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru, Khamis lalu tiruan atau sebaliknya.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayuddin berkata, laporan ujian kimia dari Jabatan Kimia itu perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut berhubung kes berkenaan.

"Setakat ini kami masih menunggu laporan. Kami akan cuba mendapatkan laporan itu secepat mungkin.

"Sekarang kita tidak boleh memberi maklumat lanjut kerana laporan kimia belum diperoleh, apabila sudah sahih baru kami boleh keluarkan arahan berhubung isu ini ke seluruh negara," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, Mohd Roslan menjelaskan kejadian itu adalah kes terpencil dan pemeriksaan ke seluruh negara tidak perlu dijalankan ketika ini.

Beliau berkata, KPDNKK akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) petang ini untuk membincangkan isu berkenaan.

Portal Harian Metro Ahad lalu melaporkan KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dalam serbuan ke lima premis kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru.

Dalam Operasi Produk Tiruan yang dijalankan kira-kira 12 tengah hari di premis di Iskandar Puteri, Mutiara Rini, Taman Orkid, Nusa Bestari dan Taman Daya itu, tiga daripada lima premis itu didapati menjual susu rumusan bayi (langkah satu) terbabit pada harga sama dengan yang asli.

Pengarah KPDNKK Johor Khairul Anwar Bachok dipetik berkata, hasil siasatan mendapati lima premis itu adalah rangkaian perniagaan yang dimiliki syarikat berdaftar yang sama dan pemilik semua premis perniagaan iaitu lelaki berusia 50-an itu mendakwa tidak sedar mengenai susu yang disyaki tiruan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, hasil rampasan semua kotak susu dianggar bernilai RM42,000 dan pihaknya masih menunggu laporan dari Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungan sebenar semua susu yang dirampas.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 2:54pm
d