utama

Jual anak kembar dalam talian

Oleh Mohd Hasbi Sidek

PASANGAN kekasih yang cuba menjual bayi kembar mereka di dalam talian dengan harga RM15,000 ditahan polis malam semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek wanita berusia 20 tahun ditahan di rumahnya di Setapak pada 8 malam.

"Manakala suspek lelaki yang berusia 18 tahun ditahan di rumahnya di Ampang sejam kemudian.

"Kami percaya kedua-dua suspek adalah pasangan kekasih dan bayi yang diiklankan di laman web jual beli atas talian itu adalah hasil hubungan luar nikah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Portal berita tempatan melaporkan aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi menerima aduan mengenai pengiklanan di mudah.my mengenai kes penjualan bayi kembar daripada seorang wanita berusia 20 tahun.

Bayi kembar itu dijual pada harga RM15,000 dan ia turut disertakan sekali keterangan gambar bertulis ‘twins to let her go’€.

Susulan daripada aduan itu, Syed Azmi menghubungi pihak mudah.my yang seterusnya mengambil tindakan pantas menurunkan iklan bertarikh 8 Disember berkenaan daripada laman sesawang mereka.

Aktivis sosial itu seterusnya menghubungi pegawai polis di Bukit Aman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan perlindungan terhadap dua bayi malang berkenaan.

Mazlan berkata, daripada siasatan awal, pihaknya mendapati tiada pihak atau individu yang menghubungi wanita terbabit bagi membeli bayi mereka.

"Kita memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 5:01pm
d