utama

Turunkan suami di simpang untuk 'pergi' selamanya

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PERMINTAAN seorang wanita untuk memandu sendiri ke tempat kerja tanpa dihantar suami bertukar tragedi apabila dia maut selepas Proton Saga dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Datuk Ali, Kangar, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu mangsa, Nurul Syazwani Nahrudin@Shaharim, 28, meninggal dunia di tempat kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ali, akibat parah di badan.

Suaminya, Shahril Amir Che, 36, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan menjelaskan menjadi rutinnya setiap hari menghantar isteri ke tempat kerja sekitar jam 6.30 pagi dan menjemputnya pada jam 3 petang.

"Isteri berkerja di sebuah hotel dan setiap hari saya menghantarnya memandangkan syifnya bermula 7 pagi hingga 3 petang.

"Cumanya hari ini dia minta izin untuk pandu kereta dan pada awalnya saya turut menemaninya.

"Namun, sampai sahaja di simpang jalan hadapan rumah, arwah beritahu ingin memperbaharui cukai jalan kereta selepas waktu bekerja dan menawarkan untuk memandu sendiri ke hotel," katanya ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah.

Menurut Shahril Amir, dia akur dengan permintaan isterinya lalu berjalan pulang ke rumah.

"Sehinggalah hampir jam 5 petang tadi, saya hairan kerana isteri masih tidak pulang kerana jika memperbaharui cukai jalan tidaklah begitu lama.

"Kemudian, jiran hadapan rumah datang memaklumkan kepada saya bahawa isteri terbabit dalam kemalangan.

"Saya bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba isteri sudah ditutup dengan kain putih dan sedia diangkat ke atas trak polis untuk di bawa ke hospital," katanya yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan nahas maut berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke HTF untuk dibedah siasat," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 10:04pm
d