utama

Puteri, 8, meninggal terkena tembakan senapang patah

Oleh Aizat Sharif

KANAK-kanak berusia lapan tahun meninggal dunia selepas terkena tembakan senapang patah yang terjatuh di kediaman datuknya di Kampung Empa, Mukim Derang, Pokok Sena hari ini.

Pada kejadian 11 pagi, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin sedang berbaring berseorangan sambil menonton televisyen di ruang tamu.

Tiba-tiba, senapang patah milik moyangnya berusia 80 tahun yang disandarkan di tepi dinding terjatuh ke lantai menyebabkannya meletup dan pelurunya terkena pipi kiri Puteri Intan Sharini.

Menurut bapa mangsa, Mohd Hishamuddin Azmi, 34, Puteri Intan Sharini tinggal di rumah berkenaan bersama datuk, nenek, dua bapa dan ibu saudaranya selepas dia serta isteri, Wan Nor Suriati Wan Masri, 26, berpisah kira-kira tiga tahun lalu.

“Ketika kejadian, saya sedang bekerja di Jitra sebelum dihubungi bekas isteri yang memaklumkan Puteri Intan Sharini meninggal dunia.

“Saya bergegas ke rumah berkenaan dan sebaik tiba, saya tergamam melihat keadaan anak. Saya cukup sebak kerana Puteri Intan Sharini pergi dalam keadaan menyayat hati,” katanya ditemui di lokasi.

Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi Puteri Intan Sharini ialah pada minggu lalu berikutan anaknya itu mahu membeli peralatan sekolah.

“Puteri Intan Sharini hubungi saya dan minta saya membeli peralatan sekolah. Saya mengatakan mahu membelinya pada Jumaat ini.

“Puteri Intan Sharini adalah anak sulung daripada empat beradik namun dia tinggal bersama datuknya sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurut Mohd Hishamuddin, Puteri Intan Sharini disifatkan sebagai bijak malah memperoleh Anugerah Cemerlang selama dua tahun berturut-turut di Sekolah Kebangsaan Penghulu Darus, Wang Tepus, Jitra.

Katanya, moyang Puteri Intan Sharini memiliki senapang patah yang digunakan untuk berburu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 5:10pm
d