utama

Rezeki maskobi

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: Bermula hanya dengan suka-suka memelihara 10 itik tiga tahun lalu, seorang wanita kini mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan hasil jualan telur ternakannya.

Zaitun Hasan, 37, dari Kampung Tengkawang di sini, berkata, dia kini mebela 100 itik maskobi atau lebih dikenali sebagai itik nila atau serati selain itik kampung yang mampu bertelur hingga 70 biji sehari bergantung kepada makanan diberikan.

Menurutnya, dia memanfaatkan kawasan belakang rumah untuk menternak itik selain mendapat bantuan Jabatan Veterinar Daerah yang datang ke reban bagi menyembur ubat menghilangkan bau selain kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Menternak itik tidak terlalu cerewet dan hasilnya menguntungkan kerana ia bertelur dua kali sehari jika diberi makanan secukupnya.

“Untuk menjamin pengeluaran telur berkualiti saya tidak memberi sisa makanan dari rumah sebaliknya mendapat bekalan dari kantin dengan nasi dan palet atau makanan khas yang dibeli di pasaran,” kata ibu empat anak berusia empat hingga 19 tahun itu.

Menurutnya, telur itik diproses sebagai telur masin dan dijual pada harga antara 80 sen hingga RM1 sebiji selain dijual mentah.

Katanya, permintaan terhadap telur masin amat tinggi dan perancangan tahun depan dia ingin menambah 100 hingga 200 itik bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus memenuhi permintaan.

“Telur masin dipasarkan di sekitar daerah ini tetapi ia belum mencukupi berikutan permintaan tinggi terutama ketika Ramadan.

Bagaimanapun, itik kurang bertelur pada musim tengkujuh, malah permintaannya juga rendah. Sebaliknya, apabila tiba musim panas, itik lebih aktif bertelur.

“Pendapatan saya tidak menentu tetapi ia tidak mengecewakan kerana paling sedikit saya mampu dapat RM1,500 dan paling tinggi mencecah RM3,000 sebulan dengan hanya menternak itik,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 7:06am
d