utama

'Pergi' pada hari lahir

Oleh Syanty Octavia Amry

PELAKON veteran, Latiff Borgiba meninggal dunia pada hari ulangtahun ke-80, jam 3.30 petang tadi, di kediamannya di Flat Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur kerana sakit tua.

Anak arwah, Ab Uzza Ab Latiff ketika dihubungi berkata, selain sakit tua ayahnya turut mempunyai masalah paru-paru.

“Sudah beberapa hari ayah kurang bercakap dan hanya terlantar di katil hingga menghembuskan nafas terakhir di samping ibu dan abang.

“Sudah lama ayah menghidap sakit tua dan lebih lima tahun tidak berlakon, hanya berehat di rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Ab Uzza yang juga anak bongsu berkata, ayahnya mengalami kekejangan awal Rabu dan anak-anak datang melawat malam tadi di kediamannya.

Arwah tinggal bersama isteri dan anak lelaki, di Setapak. Malam tadi, anaknya, Dilla Borgiba berkongsi gambar Allahyarham di laman Instagram sempena ulang tahun kelahiran ayahnya, memohon kesembuhan.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibu Kota, Setapak, jam 10 malam ini.

Latiff atau Abdul Latiff T K Gomu Kakah meninggalkan 13 anak dan seorang isteri, Fatimah Leman, 70.

Dilahirkan di Bangkok, Thailand pada 14 Disember 1937, Latiff berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1946 dan pernah berkahwin dua kali.

Dalam lakonan, arwah sinonim dengan watak-watak antagonis dalam filem dan drama yang diterbitkan sejak 1960-an.

Latiff pernah melakonkan beberapa filem termasuk Dang Lenggang, Ribut di Hujung Senja dan Anakku Suamiku.

Antara drama yang pernah dibintangi termasuklah Tekukur Tak Berbunyi Lagi.

Nama Borgiba diberikan pengarah filem dan pelakon S. Kadarisman penghujung 60-an yang diambil sempena nama keturunan Habib Borgiba iaitu tokoh agama dari Afrika.

Beliau berkahwin pada usia 17 tahun dengan Rokiah Abdul Rahman yang ketika itu berusia 12 tahun tetapi isterinya meninggal dunia selepas tiga tahun berkahwin.

Allahyarham kemudiannya berkahwin dengan Fatimah Leman. Beliau mempunyai 16 anak (tiga daripadanya meninggal) serta 50 cucu.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 6:30pm
d