utama

Terbaiklah cikgu!

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KEGIGIHAN dan kreativiti ditunjukkan dalam mendidik pelajar istimewa melayakkan guru pendidikan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, Kota Bharu tersenarai antara 50 guru dunia merebut anugerah Hadiah Guru Global 2018.

Guru cemerlang itu, K A Razhiyah, 58, yang memulakan karier perguruan pada 1985, mengakui terkejut apabila terpilih dalam senarai itu.

Namun, beliau tidak mahu leka mengejar kemasyuharan atau pengiktirafan dunia, sebaliknya ingin terus berbakti kepada anak didiknya yang istimewa sehingga mereka menjadi insan yang berguna dan berjaya di sebalik kekurangan diri masing-masing.

Razhiyah juga berhasrat membuka sebuah pusat latihan untuk membimbing pelajar istimewa dalam bidang kemahiran supaya mereka mempunyai kelebihan yang dapat menyaingi insan normal.

"Sudah lama saya berhajat membuka pusat latihan ini kerana bukan semua pelajar istimewa cemerlang dalam akademik. Dengan pusat kemahiran begini, akan membantu mereka untuk hidup berdikari.

"Saya melihat impian saya ini akan dapat dilunaskan sekiranya saya berjaya memenangi anugerah itu nanti.

"Sekiranya kemenangan tidak berpihak kepada saya, pasti ada jalan lain yang boleh diusahakan supaya cita-cita ini menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui di SMK Panji petang tadi.

Hadiah Guru Global dianjurkan Yayasan Varkey setiap tahun, menawarkan hadiah utama berupa wang tunai bernilai USD$ 1 juta (RM4.1 juta) dan pemenangnya akan diumumkan pada Mac, tahun depan.

Bercerita lanjut, wanita cekal itu berkata, beliau gembira apabila menjadi guru untuk pelajar istimewa kerana dapat optimumkan kreativitinya untuk mendidik pelajar begitu.

Di SMK Panji, beliau berpeluang perkenalkan program Teratak Spa, iaitu projek yang memberi peluang pelajar mengendalikan rawatan kecantikan, seperti rawatan muka dan urutan tangan.

Katanya, 15 daripada 82 pelajar pendidikan khas berusia 13 hingga 19 tahun terbabit dengan projek itu yang sekali gus membina keyakinan diri mereka.

Rata-rata pelajar tidak dapat membaca, mengalami masalah pendengaran selain beberapa masalah lain.

"Saya gembira apabila projek itu menarik minat mereka dan membina keyakinan. Daripada situ dapat lihat kelebihan mereka," katanya.

Tahun lalu, Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 29, tersenarai dalam kelompok 50 guru terbaik anugerah itu dan dipilih menjadi contoh kejayaan guru muda peringkat global.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 8:35pm
d