utama

Tak cadang berhijrah

Oleh HM Digital

Tidak dapat dinafikan, pelakon hebat Bront Palarae semakin mendapat tempat di persada perfileman Indonesia selepas berlakon dalam filem genre seram Pengabdi Setan.

Ternyata, pertaruhan Bront melakonkan watak bapa berusia 55 tahun dalam filem arahan Joko Anwar itu menjadi kerana filem itu mendapat sambutan hangat di sana.

Lebih memberangsangkan, Pengabdi Setan turut muncul filem Indonesia terlaris di negara ini dengan mencecah kutipan RM4.8 juta sejak menjengah pawagam tanah air bermula 23 November lalu.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin, 39, mengakui dia bersyukur kerana filem itu mendapat sambutan hangat di kedua-dua negara.

“Bukan mudah melakonkan watak bapa berusia 55 tahun dengan persiapan singkat termasuk belajar dialog dalam bahasa Indonesia kurang daripada sebulan kerana jika gagal ia boleh menjejaskan masa depan kerjaya lakonan saya.

“Selain itu, perlu mengatasi ‘standard’ tinggi filem seram Munafik arahan pengarah Syamsul Yusuf. Hati saya tertarik untuk berlakon dalam Pengabdi Setan selepas membaca skripnya,” katanya.

Kesan lakonannya dalam Pengabdi Setan, Bront banyak menerima tawaran berlakon daripada produksi negara itu.

“Bermula dengan mini siri HBO, Halfworlds, saya tidak putus menerima tawaran daripada produksi di sana. Bagaimanapun, selepas Pengabdi Setan, banyak tawaran yang datang menawarkan watak lebih kurang sama sedangkan saya mahukan kelainan,” katanya.

Selepas Halfworlds, dia turut berlakon dalam filem Headshot dan My Stupid Bos.

Bront ditemui pada majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DAP) yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Damansara, baru-baru ini.

Meskipun tawaran banyak diterima, tetapi dia tidak bercadang berhijrah ke negara itu.

“Isteri juga ada memberi cadangan agar kami berpindah ke sana, tetapi saya tidak melihat perkara itu sebagai satu keperluan lagi kerana masih boleh berulang-alik sekiranya mempunyai projek di Indonesia,” katanya.

Terbaru, Bront muncul dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2 terbitan Manoj Production dan ditayangkan di Indonesia bermula 21 Disember ini. Dalam filem arahan Guntur Soeharjanto itu, Bront melakonkan watak lelaki Yahudi bernama Baruch yang menetap di Scotland.

Anak perempuan merajuk

Sesibuk mana pun dengan kerjaya seni, bintang filem Terbaik Dari Langit dan Ola Bola itu mengakui dia perlu bijak membahagikan masa supaya kerjaya dan rumah tangga bergerak seiringan.

“Terus terang, saya kerap berulang-alik ke luar negara termasuk ke Indonesia dan menghadiri kursus di Amerika Syarikat sebelum ini sehingga kurang meluangkan masa berkualiti bersama anak.

“Maklumlah, anak perempuan baru berusia 19 bulan dan dia masih dalam proses membesar. Adakala saya perasan anak merajuk sebab sudah lama tidak memandang wajah bapanya.

“Sebab itu juga saya tidak berhasrat menambah ahli keluarga buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas pelancaran DPA, Bront adalah seorang daripada ahli tetap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu. Selain Diana Danielle sebagai pengerusi, selebriti lain yang terbabit ialah Farid Kamil, Akim Ahmad, Hafiz Suip, Hazama, Stacy, Sofi Jikan dan Wan Hanafi Su. -Ramlah Zainal

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 1:22am
d