utama

Sebar nilai positif ke seluruh dunia

Oleh Georgie Joseph

Mencipta nama yang cukup gah di pasaran muzik Eropah, penyanyi kelahiran Indonesia, Anggun terus membanggakan rakyat Asia dengan pencapaiannya.

Anggun atau nama penuhnya Anggun Cipta Sasmi, 43, yang menjadi fenomena suatu ketika dulu dengan lagu Snow on the Sahara jelas teguh memperjuangkan muzik berkualiti sampai tahap ini.

Bahkan, menurutnya dia tidak lagi menetapkan genre khas kepada hala tuju karyanya. Baginya terus jujur dan hasilkan lagu yang bagus menjadi keutamaannya.

“Sewaktu baru memulakan kerjaya seni di Indonesia, saya cukup dikenali sebagai penyanyi rock tetapi sekarang sudah tidak kisah apa jua jenis muzik kerana bagi saya tiada beza pun dan tak penting jenis muzik bagaimana saya mahukan. Cuma, sama ada muzik itu bagus atau tidak.

“Apa pendengar mahukan sekarang melodi yang sedap didengar sekali gus mereka akan terus menggemarinya sampai bila-bila,” katanya.

Itulah suntikan yang diberikan dalam lagu ditulisnya dalam album terbaru akan datang. Inti pati utamanya tidak lain mahu menyebarkan nilai positif ke seluruh dunia.

“Banyak lirik yang saya tulis bermakna, mendalam, positif dan mempunyai mesej. Sekarang kita kena benar-benar perlu memberi perhatian terhadap hidup kita. Apabila kita sudah pergi suatu hari nanti, kita pergi dengan tangan kosong dan disebabkan itu perlu tinggalkan sesuatu yang positif,” katanya.

Menulis 90 peratus material dalam album barunya itu, Anggun tidak menafikan banyak liriknya berdasarkan pengalaman peribadi.

“Secara keseluruhannya, ia fokus kepada kehidupan dan ada yang begitu peribadi. Ia ditulis berdasarkan apa yang berlaku di persekitaran hidup saya,” katanya.

Anggun juga tidak menafikan mendapat inspirasi daripada bapanya apabila menyentuh bab penulisan lagu. Oleh itu, dia menyuntik elemen itu setiap kali berkarya.

“Bapa saya seorang penulis buku dan katanya menulis adalah ibarat berkomunikasi. Oleh itu, setiap perkataan yang keluar akan menggambarkan keperibadian penulis itu.

“Kebelakangan ini ramai orang di media sosial langsung tiada nilai kesopanan. Orang yang dengki pun sangat berleluasa,” katanya.

Kembali dengan single terbaru berjudul What We Remember, Anggun mengakui sangat gembira dengan lagu yang dirakamkan dan video muziknya. Bahkan, dia rasakan penggambaran yang agak sukar itu berakhir dengan hasil cukup memuaskan.

“Sewaktu penggambaran, saya didera pengarah untuk tahan sejuk yang ketika itu suhunya dua darjah Celsius. Sudahlah saya kena pakai baju biasa tanpa disaluti baju panas.

“Namun, saya sangat gembira apabila elemen penting dalam video itu dapat digambarkan dengan baik. Ada unsur memperkasakan wanita selain kualiti memuaskan,” katanya.

Ingin duet bersama Yuna

Anggun turut menyimpan impian berkolaborasi bersama Yuna suatu hari nanti dan sangat menyanjung penyanyi kebanggaan Malaysia itu.

Menurutnya, dia mendapati Yuna sangat berbeza dan mengaguminya bukan sebagai penyanyi saja bahkan keperibadiannya.

“Saya mengaguminya sejak kali pertama berjumpanya tidak lama dulu di Rome (Itali). Dia seorang penyanyi yang sangat berbeza berbanding penyanyi lain. Dia benar-benar menjadi diri sendiri dan tiada orang lain boleh menjadi dia. Yuna berbakat, moden, garang dan kuat tetapi lembut. Dia bukan seperti wanita lain yang kita selalu nampak.

“Sewaktu dia mengadakan konsert di Paris, saya siap menyanyikan lagunya. Saya akui sebagai seorang daripada peminatnya yang tegar,” katanya.

Bagaimanapun, Anggun mengakui belum pasti bila kolaborasi itu akan direalisasikan namun tidak menafikan mungkin tidak lama lagi.

Dalam pada itu, dia berharap dapat mengadakan konsert solonya di Malaysia pada masa akan datang. Menurutnya, dia sangat tabik dengan peminat di sini.

“Saya masih ingat kali terakhir membuat persembahan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kagumnya saya dengan semangat peminat muzik di sini bahkan mereka menyanyi sama lagu Snow on the Sahara,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 1:27am
d