utama

Renjatan korban nyawa

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang remaja lelaki maut akibat renjatan elektrik selepas tersentuh tiang elektrik di kawasannya bermain bola sepak di Flat Jalan Shaw, Jalan Hang Tuah, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 malam, mangsa, D Samuel, 16, bermain bola sepak bersama beberapa rakannya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa yang membuat laporan polis selepas kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa bersama 11 lelaki lain bermain bola sepak di padang berhampiran tiang elektrik itu.

“Tiba - tiba mangsa tersentuh tiang elektrik yang berada di penjuru padang dan terkena renjatan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pasukan paramedik ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang dikejarkan ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut.

“Bedah siasat dijalankan jam 8.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 4:01am
d