utama

Demimu mama...

Oleh Ardini Sophia Sina

Usianya sudah menjangkau 23 tahun namun Puteri Aishah Sulaiman belum memikirkan soal jodoh. Buat masa ini, tumpuannya hanya pada kerjaya serta kesihatan ibunya yang bertarung melawan kanser ovari tahap empat.

Tatkala bercerita mengenai ibunya, tidak ada getaran sebak pada suaranya. Ekspresi wajahnya tetap sama, ceria seperti biasa. Namun di sebalik senyuman itu, hanya Tuhan yang tahu gelora hatinya.

Kata Aishah, dia bercuti panjang sebaik saja tamat penggambaran Lelaki Itu Pemilik Hatiku. Dia mahu menjaga ibunya yang baru saja menjalani pembedahan membuang rahim pada Oktober lalu.

Sebagai anak sulung perempuan, dia menggalas tanggungjawab yang agak berat, tetapi tidak sesekali melihat ia sebagai beban. Malah, dia sedar menjadi kewajipan setiap anak membantu dan menjaga ibu bapa serta adik-beradik.

“Saya bersyukur kerana kesihatan mama semakin baik. Namun, mama masih dalam pemantauan doktor kerana bila-bila masa sel kanser itu boleh aktif semula. Mama adalah ibu tunggal dan selama ini kami adik-beradik bergantung kepadanya.

“Sekarang, tiba masa kami pula yang menjaga mama. Saya dan adik-beradik perlu kuat berdepan dugaan ini. Saya serahkan kepada Allah dan gembira kerana mama terus berjuang melawan penyakit,” katanya.

Bukan berasal dari keluarga senang membuatkan Aishah gigih bekerja. Dia boleh menarik nafas lega kerana pendapatan sebagai pelakon boleh menampung perbelanjaan rawatan ibunya.

Bagi wanita itu, dia tidak kisah berhabis demi memastikan ibu tercinta kembali sihat.

“Syukur, saya dapat membantu membiayai kos rawatan mama. Saya tidak kisah tiada simpanan, janji mama sihat.

“Pada usia 55 tahun, mama tak sesuai bekerja lagi apatah lagi dalam keadaan sekarang. Biar mama berehat, saya pula yang cari duit.

“Selagi hayat masih ada, saya dan adik-beradik ingin membahagiakan dan menggembirakan mama. Saya berusaha mengukuhkan nama dalam bidang lakonan kerana itu janji saya kepadanya,” katanya.

Sebelum ini pelakon cantik ini dikatakan bercinta dengan Pengerusi Eksekutif Naza World Group of Companies Datuk SM Faisal SM Nasimuddin. Dia bagaimanapun menegaskan hubungan mereka hanya berlandaskan persahabatan, tidak lebih daripada itu.

Aishah berkata isu yang mula diperkatakan sejak pertengahan tahun ini itu hanya cakap-cakap orang. Hakikatnya, cinta tidak pernah berputik antara mereka.

“Saya takut untuk jatuh cinta kerana belum bersedia menjalinkan hubungan serius. Buat masa ini saya perlu utamakan kerjaya dan ibu. Saya masih muda, masih banyak impian yang perlu digapai.

“Jika apa yang diidam sudah ada dalam genggaman, baru saya akan fikir soal cinta,” katanya.

Tambah Aishah, dia dan jejaka yang diperkatakan itu jarang bertemu. Kalau pun berbual, ia lebih banyak berkisar kerjaya.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 6:45am
d