utama

Raja sungai teristimewa

Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Boleh mencecah ribuan ringgit seekor. Itu harga seekor ikan kelah atau nama saintifiknya Tor Tambroides yang menjadi antara hidangan eksotik di negara ini. Permintaan tinggi terhadap ikan yang digelar ‘raja sungai’ itu ditambah populasinya yang semakin menurun menyebabkan harganya terus meningkat di pasaran.

Spesies ikan air tawar yang sukar diperoleh itu kerana ia hanya hidup di habitat semula jadi iaitu hulu sungai berarus deras, jernih dan berbatu menyebabkannya menjadi antara spesies istimewa. Difahamkan, harganya yang mampu mencecah lebih RM500 sekilogram membuatkan spesies berkenaan menjadi buruan ramai pihak.

Spesies ikan itu dikategorikan sebagai haiwan terancam di negara ini dan ia antara spesies dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76). Di negara kita, spesies ikan itu sama ada dalam keadaan semula jadi atau liar banyak terdapat di beberapa kawasan hulu sungai di Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan serta Sabah dan Sarawak.

Penangkapan anak kelah atau induknya tanpa kawalan boleh menyebabkan ia pupus kerana kadar pembiakan spesies itu yang perlahan. Berikutan itu, beberapa langkah diambil bagi mengelak raja sungai itu terus diancam kepupusan.

Timbalan Pengarah Perikanan (Pengurusan), Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Dr Bah Piyan Tan mengakui ikan kelah kini semakin diancam kepupusan berikutan ia menjadi buruan ramai.

Beliau berkata, pihaknya mewujudkan pusat perlindungan ikan kelah di negara ini iaitu di Tasik Kenyir, Terengganu, Sungai Tiang, Sungai Kejok dan Tasik Temenggor di Gerik, Perak, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi di Titi, Jelebu, Negeri Sembilan dan Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perhutanan melepaskan ratusan benih dan induk ikan kelah di santuari berkenaan sejak 12 tahun lalu.

“Kami dapati spesies ikan kelah ini menjadi buruan dan ramai berminat menangkapnya sehingga diancam kepupusan.

“Justeru, Jabatan Perikanan mengambil inisiatif memulihara spesies ini,” katanya.

Menurutnya, pelepasan benih ikan kelah kerap dilakukan, malah tahun ini saja pihaknya membuat dua kali pelepasan benih ikan ke dalam santuari dan terbaru 18 November lalu di Sungai Chiling.

Bah Piyan berkata, langkah mewartakan santuari dianggap sebagai cara paling berkesan bagi mengelakkan kepupusan.

Menurutnya, Selangor antara negeri menjalankan usaha memelihara spesies ikan terancam itu melalui santuari di bawah seliaan Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Pada 2005 kawasan itu dikenali sebagai Santuari Ikan Sungai Chiling yang dijadikan pusat perlindungan dua spesies ikan iaitu kelah dan tengas yang diancam kepupusan. Kini Sungai Chiling menjadi habitat dan tempat pembiakan spesies ikan itu sehingga melahirkan limpahan pelbagai saiz ikan yang hidup bebas di sepanjang sungai hingga ke kawasan air terjun utama.

Bah Piyan berkata, selain dijadikan pusat perlindungan ikan, Santuari Ikan Sungai Chiling turut dibuka kepada umum sejak 2006 dan menjadi kawasan riadah serta perkelahan yang terkenal di seluruh negara.

“Pusat ini kami bangunkan mengikut kesesuaian tanpa mengubah ekosistem dan habitat haiwan di sini,” katanya.

Spesies ikan kelah dari jenis ikan kap dalam keluarga Cyprinidae yang bersisik besar mendiami sungai serta tasik dan naik ke anak sungai yang deras serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk membiak.

Serupa dengan jenis ikan kap lain, ia jenis omnivor dan memakan bukan saja alga, krustasia, serangga, katak dan ikan lain, tetapi buah-buahan yang jatuh daripada pokok.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 7:18am
d