utama

Baju kahwinku hilang!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: Seorang pegawai penilai syarikat swasta bukan saja kehilangan kereta, malah pakaian persalinan untuk perkahwinannya yang diletakkan di dalam kenderaan itu turut lesap selepas kereta Perodua Myvi miliknya dicuri di hadapan sebuah apartmen di Ampang Mewah, di sini, kelmarin.

Kejadian itu disedari mangsa, Tengku Nur Hashima Tengku Azmi, 25, selepas mendapati keretanya tiada di kawasan berkenaan ketika mahu ke tempat kerja kira-kira jam 8 pagi.

Beliau berkata, sebelum kejadian, dia meletakkan kereta itu di hadapan apartmen didiaminya dan sudah memastikan ia berada dalam keadaan berkunci.

“Bagaimanapun, ketika mahu mengambil kereta, saya mendapati kenderaan itu sudah tiada sebelum cuba mencari di kawasan sekitar. Pada mulanya, saya menyangkakan mungkin ada pihak yang mengalih kereta itu disebabkan mengganggu laluan.

“Namun, selepas beberapa minit mencari di kawasan sekitar, saya menyedari ia dicuri dan menghubungi rakan untuk bantuan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya.

Katanya, dia baru saja membeli kereta berkenaan kira-kira sebulan lalu dan baru beberapa kali menggunakannya dalam tempoh terbabit.

“Baru beberapa hari lalu, saya membayar bayaran bulanan kereta itu selepas genap sebulan menggunakannya. Kali terakhir saya menggunakan kereta itu adalah Selasa lalu untuk balik ke kampung halaman.

“Saya terkilan kerana kehilangan kereta itu turut menyebabkan pakaian persalinan perkahwinan saya yang dirancang berlangsung pada Februari ini turut lenyap. Saya meletakkan persalinan itu di dalam kenderaan itu.

“Jika tidak dapat semula kereta itu, saya reda, namun saya harap boleh dapat semula pakaian persalinan perkahwinan berkenaan kerana semua persiapan untuk majlis nanti sudah hampir selesai,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 7:41am
d