utama

Permintaan pilu Danial

Oleh Shahrinnahar Latib

Temerloh: “Doktor beritahu kakinya perlu dipotong bagi menyelamatkan nyawanya, tetapi dia tidak mahu dan kata jika dia pergi menghadap Ilahi, dia hendak bawa kakinya sekali,” kata Mohamad Azmi Si-Hasnan, 42, bapa kepada Muhammad Danial Izmir, 9, yang menghidap barah tulang tahap empat.

Mohamad Azmi dari FELDA Lakum, Lanchang, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu disahkan menghidap barah tulang sejak Mei tahun lalu selepas mengalami demam teruk hingga menyebabkan kaki kanannya membengkak.

“Saya bawanya berubat secara tradisional namun tidak sembuh, jadi saya membawanya ke klinik swasta sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Lanchang dan doktor meminta dia dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

“Di HOSHAS, doktor yang membuat imbasan X-ray mengesahkan anak saya menghidap barah tulang sebelum terus dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohamad Azmi yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori berkata di HKL, anaknya menjalani 36 kali rawatan kemoterapi hingga Ogos lalu.

“Ketika mula-mula anak disahkan menghidap penyakit ini, memang dia lemah semangat dan tidak mampu menerima keadaan, tetapi selepas dipujuk dan diberikan semangat oleh keluarga, dia kembali seperti sedia kala.

“Sebelum ini, memang dia anak yang periang dan aktif, namun akibat penyakit ini, dia tidak mampu berjalan kerana ketumbuhan barah itu semakin membesar,” katanya.

Menurutnya, doktor beritahu anak yang kaki kanannya perlu dipotong bagi mengelak sel barah merebak selain menyelamatkan nyawa tetapi anak kata dia tidak tidak mahu dan sayangkan kakinya itu.

“Jika meninggal dunia, dia mahu ada kaki. Bagaimanapun, kami sekeluarga masih memujuknya untuk memotong kakinya. Doktor kata apabila dia bersetuju bila-bila masa, proses pembedahan membuang kakinya boleh dilakukan,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga kini hanya bergantung kepada bantuan orang ramai dan ahli keluarga lain untuk kos rawatan dan keperluan harian.

“Saya tidak bekerja selepas dibuang kerja kerana sering bercuti manakala isteri, Zurina Omar, 35, pula tidak bekerja,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB (7615854237) atas nama Mohamad Azmi Si-Hasnan.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 7:52am
d