utama

Mereka nak kami melenting

Oleh Ardini Sophia Sina

PASANGAN selebriti Amar Baharin, 32 dan Amyra Rosli, 26, tidak kisah dengan kata-kata negatif dilontarkan netizen mengenai keputusan mereka untuk tidak berkongsi wajah serta nama anak selepas putera sulung mereka dilahirkan.

Kata Amar, situasi itu membuatkan mereka berdua lebih matang untuk mengendalikan emosi masing-masing.

Dia beranggapan, ketidakpuasan hati itu timbul kerana mereka tidak faham cara kerja apabila seseorang sudah menandatangani kontrak.

"Walaupun perasaan kami membuak-buak untuk berkongsi gambar mahupun rakaman wajah Anaqi tetapi kami tetap sabar kerana terikat dengan kontrak.

"Mungkin ada yang tidak faham konsep kontrak itu bagaimana. Saya harap penjelasan ini dapatlah memberikan jawapan kepada persoalan mereka," kata Amar pada majlis kesyukuran dan cukur jambul anaknya di Event Space Rosa, Wangsawalk Mall, hari ini.

Bagi Amyra, cacian berkenaan sedikit pun tidak menganggu emosinya sepanjang tempoh berpantang.

Pelakon itu mengambil pendekatan untuk tidak peduli dan hanya fokus pada anak dan diri sendiri.

"Saya tidak tahu apa yang mereka hendak cari pasal. Saya baca sikit-sikit tapi tidak mahu layan. Lebih baik saya fokus pada anak dan diri sendiri.

"Saya rasa mereka buat begitu supaya kami melenting dan jawab balik apa yang mereka sudah komen di Instagram," kata Amyra.

Majlis itu dihadiri kira-kira 200 tetamu dalam kalangan keluarga dan kawan rapat.

Ia turut dimeriahkan oleh anak yatim dari Rumah Anak Yatim Raudhatul Nurr Jannah, Gombak.

Aqeef dilahirkan pada 15 Oktober lalu.

Amar dan Amyra mengambil keputusan untuk berkongsi nama anak mereka pada 8 Disember serentak dengan tayangan The Adventure of Aqeef Amyramar.

Manakala wajah penuh Aqeef hanya dikongsikan di laman sosial Instagram selepas tayangan episod ketiga program realiti berkenaan.

Pasangan ini bertunang pada 22 Julai 2016 dalam satu majlis tertutup dan dinikahkan pada 11 November tahun yang sama.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 7:13pm
d