utama

Patah tulang, putus urat digigit kera

Oleh Mary Victoria Dass

"Seperti biasa saya dengan ikhlas memberi makan kepada sekumpulan kera yang kerap datang ke belakang rumah namun tidak menyangka seekor daripadanya menggigit jari tengah kedua-dua tangan hingga terpaksa dimasukkan ke wad selama dua minggu," kata peneroka Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, Abdul Hamid Wahab, 59.

Abdul Hamid berkata, akibat digigit kera dia bukan saja terpaksa menerima 30 jahitan malah patah tulang jari tengah tangan kiri dan putus urat jari tengah tangan kanan.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi, 2 Disember lalu di rumahnya di Felda Simpang Waha, ketika mahu memberi makan betik kepada sekumpulan kera di belakang rumahnya.

"Secara tiba-tiba seekor kera melompat dan menyerang saya lalu menggigit kedua-dua jari mungkin kerana mahu saya melepaskan betik kepadanya.

"Bagaimanapun, apabila saya menjerit kesakitan ia kembali memanjat pokok tanpa membawa buah berkenaan. Ketika saya benar-benar panik kerana tidak pernah diserang sebelum ini," katanya.

Menurutnya, keluarganya yang terkejut dengan kejadian itu membawanya ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan dia dibenarkan pulang hari ini.

Katanya, sehingga kini dia masih mengalami bisa di kedua-dua jari dan tangannya serta sukar menggerakkan kerana terlalu sakit hingga menyukarkannya untuk melakukan pelbagai aktiviti harian.

"Mungkin saya terpaksa bercuti sakit selama beberapa bulan memandangkan doktor menyatakan luka terlalu dalam dan tidak mudah sembuh dan perlu menjalani pemeriksaan susulan.

"Ia akan mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya kerana kecederaan hingga ke tulang selain putus urat dan rehat lama diperlukan bagi mengelak kecederaan bertambah serius.

"Saya tidak serik, walaupun sakit kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk menyayangi haiwan berkenaan kerana ia juga ciptaan Allah," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 8:29pm
d