utama

Buasir Lan belum ok

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Lan, 32, yang bakal beraksi pada pentas akhir Gegar Vaganza 4 (GV4) malam esok, mengakui belum sembuh sepenuhnya daripada sakit buasir yang dialami sejak dua minggu lalu.

Lan berkata, penyakit itu masih mengganggu pergerakan sehingga membuatkan dia lebih berhati-hati.

“Alhamdulillah, kesihatan sekarang 90 peratus lebih baik jika mahu dibandingkan dengan dua minggu lalu. Cuma, keadaan masih terganggu kerana benda itu masih ada di luar.

“Jadi, apa saya perlu lakukan adalah rehat yang cukup dan pergerakan perlu dijaga. Saya tidak boleh terlalu aktif. Bimbang nanti melarat pula,” katanya kepada Harian Metro.

Sebagai persediaan persembahan akhir, Lan berkata dia perlu menjaga pemakanan dan disiplin dari segi pengambilan ubat.

“Isteri banyak memantau pemakanan dan perubatan saya. Dalam soal makanan, saya tak boleh makan sebarang.

“Malah, kalau dia nampak saya penat dan tertekan, dia meminta saya berehat. Dalam keadaan sekarang, saya perlu patuh semuanya,” katanya.

Pada peringkat akhir, Lan bakal menyanyikan lagu Smells Like Teen Spirit nyanyian kumpulan Nirvana serta lagu Amboi ‘battle’ dengan Hazami.

Selain Lan, lima peserta akhir yang berentap merebut gelaran juara GV4 ialah, Liza Hanim, Aishah, Hazami, Tia Jinbara dan Firman.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 9:29pm
d