utama

Kin Wah tak buru anugerah

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

Setiap kejayaan perlukan pengorbanan dan pastinya tidak datang bergolek dalam dakapan. Begitu juga halnya dengan pelakon kelahiran Ipoh, Anuar Chew Kin Wah, 52, yang mula menjadi legasi di negara jiran, Indonesia.

Namanya mula meniti di bibir penggiat filem Indonesia selepas merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik melalui filem Cek Toko Sebelah pada Indonesian Box Office Movie Awards 2017 (IBOMA 2017), Mac lalu dan Festival Filem Tempo (FFT), beberapa minggu lalu.

Itu belum lagi dikira pencalonan terbaru untuk i-Cinema Awards dan Anugerah Piala Maya-6 pada awal minggu lalu.

Pencalonan i-Cinema Awards adalah yang kedua baginya selepas dicalonkan tahun lalu dalam kategori pelakon pembantu terbaik melalui filem pertamanya di Indonesia, My Stupid Boss.

Untuk Piala Maya pula, dia bakal bersaing dengan nama besar seperti Slamet Rahardjo, Ganindra Bimo dan Deddy Sutomo.

“Pengorbanan mesti ada kerana saya perlu mengembara ke Indonesia untuk bekerja, tinggalkan keluarga, rumah, rakan-rakan dan sebagainya.

“Kalau tanya secara peribadi, saya lebih suka bekerja di sini. Tapi apa boleh buat? Tawaran masih banyak dari sana terutama untuk filem. Ia tidaklah sangat lumayan cuma tawarannya ada,” katanya.

Ujarnya, bermula daripada satu projek, mereka dapat lihat pembabitannya dalam projek lain pula ibarat ‘domino effect’.

Biarpun bersyukur diberi penghormatan dan pencalonan bagi anugerah, dia menolak tawaran yang objektif asal untuk ke arah itu.

Katanya, andai ada tawaran seperti itu, dia akan tolak secara baik.

“Tiada filem yang dibuat untuk anugerah. Mana ada orang bekerja sebab nak menang anugerah? Tapi kalau cakap mahu ajak saya buat projek itu kerana ada cerita mahu dikongsi, saya sanggup buat percuma.

“Saya baru habis projek bersama pengarah muda, Muzamil. Ia karya ‘indie’, tidak lumayan tetapi ada pelakon bagus seperti Bront dan Ameerul Affendy. Saya terima sebab ceritanya bagus,” katanya.

Kin Wah menjelaskan perkara pertama kebanyakan pembikin filem tawarkan adalah mereka ada skrip dan mahu dia baca terlebih dahulu.

“Saya pernah kata, saya hanya pelakon, tiada skrip, tiadalah dialog. Tiada penata bunyi, suara saya tidak keluar. Tiada jurulampu, wajah saya tidak kelihatan. Ia kerja berpasukan dan semuanya bermula daripada skrip,” katanya ringkas.

Bercerita lebih lanjut pengalaman bekerja di negara orang, Kin Wah mempunyai pasukan yang mengurus tawaran di sana. Mereka menganalisis projek yang ditawarkan sesuai atau tidak tetapi selalunya bergantung pada keputusan Kin Wah sendiri.

Kongsi Kin Wah, ada tawaran yang tidak sesuai tetapi berbeza pula pandangannya.

Tanpa berselindung, dia akui situasi industri perfileman di Indonesia sama saja di Malaysia. Ia bergantung pada pilihan itu tepat atau tidak.

“Saya hanya bertuah sebab filem My Stupid Boss adalah karya yang bagus dan diterbitkan syarikat produksi hebat,” katanya mengenai projek pertama yang mengukir namanya di negara jiran.

Dia juga melihat apresiasi seni di Indonesia jauh lebih luas berbanding di negara sendiri. Situasi itu dianggap menyedihkan.

Katanya, di sini rakyat masih berpegang pada STEM (Sains, Teknologi, Enginering (kejuruteraan) dan Matematik) dan seni pilihan terakhir.

“Ambil contoh babak dalam filem P Ramlee berjudul Ibu Mertuaku yang menonjolkan watak Kassim Selamat dipandang hina kerana dia pemuzik. Situasi itu masih berlaku hingga ke hari ini.

“Contoh lain, filem Albert Eistein. Ada babak saintis itu bermain violin untuk hilangkan tekanan. Dalam usahanya merealisasikan sejarah sains, dia tetap pilih seni untuk membantu kejayaannya,” katanya.

Tegasnya, masyarakat tidak sepatutnya bersikap pilih kasih. Tidak dinafikan STEM penting tetapi ia perlu seimbang. Walaupun wujud situasi dianak tiri oleh masyarakat, dia percaya masih ada ruang untuk perbaiki situasi itu pada masa depan.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam industri perfileman negara jiran, Kin Wah berkata, dia perlu mempelajari bahasa mereka. Biasanya dia akan diberi latihan dialog dan bahasa selama tujuh atau lapan hari.

“Ketika terima tawaran, saya ada suarakan kepada Ernest (pengarah Cek Toko Sebelah). Saya ini asal Malaysia dan bahasa Indonesia bukan kepakaran saya. Mereka minta saya datang dan buat latihan.

“Saya rekod dalam telefon bimbit dan ulang sehingga fasih. Ada perkataan yang kedengaran lucah di Malaysia tetapi biasa di Indonesia, saya alami kesukaran untuk mengucapkannya pada peringkat awal,” katanya sambil ketawa.

Selain filem My Stupid Boss, Surat Kecil Untuk Tuhan dan Cek Toko Sebelah yang memberikan pengalaman manis buatnya, Kin Wah terbabit dalam enam lagi filem terbitan negara seberang.

Bulan ini dia bakal muncul dengan Terbang, filem biopik mengenai tokoh korporat Indonesia. Tahun depan pula filem Susah Sinyal dan Dimsum Murtabak. Ada dua lagi filem yang bakal memulakan penggambaran dan judulnya masih dirahsiakan.

Filem tempatan pula, Kin Wah akan tampil dengan One Two Jaga arahan Namron serta filem Safari Mall arahan bersama Jordan Suleiman dan Tony Pietra Arjuna.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 6:22am
d