utama

Empat cadangan pakar

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Wujudkan pusat hentian krisis, pasukan pemantau khas, kamera litar tertutup (CCTV) pengecaman wajah dan aplikasi khas aduan.

Itu saranan diberikan tiga pakar kriminologi negara kepada kerajaan khasnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengatasi kegiatan penyeludupan migran terutama warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kamal Effendi Hashim berkata, dengan kewujudan pusat hentian krisis di semua pintu masuk utama negara dan lokasi strategik membolehkan mangsa segera membuat aduan sebaik mendarat di lapangan terbang.

“Atau migran yang dijadikan buruh paksa segera ke lokasi itu bagi mendapatkan perlindungan sebaik berjaya melarikan diri daripada sindiket. Kini, migran yang diperdagangkan atau dipergunakan sindiket tidak tahu ke mana mereka hendak mendapatkan perlindungan. Jadi, mereka akan terus dimanipulasi ahli sindiket,” katanya.

Manakala Datuk Akhbar Sattar pula menegaskan, penggunaan CCTV pengecaman wajah seperti dipraktikkan di lapangan terbang terkemuka seperti di New York mampu mengenal pasti ahli sindiket yang sentiasa berulang-alik masuk ke negara ini.

“Penggunaan teknologi ini di New York sangat berkesan dalam mengatasi masalah penyeludupan migran mahupun pembolosan penjenayah ke negara itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohammad Rahim Kamaluddin yang juga tenaga pengajar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, JIM perlu menubuhkan satu pasukan pemantau khas yang bebas bagi melakukan pemantauan di KLIA.

“Pasukan khas itu tidak membabitkan pegawai imigresen yang bekerja di lapangan terbang. Berperanan untuk memantau saringan warga asing termasuk Bangladesh yang masuk. Bagi mengekalkan komitmen dan mengelakkan anasir tidak baik, ahli pasukan khas ini perlu sentiasa ditukar,” katanya.

Katanya, kewujudan pasukan khas 24 jam di lapangan akan mengelakkan pegawai imigresen daripada terbabit dengan sindiket penyeludupan migran.

Dalam perkembangan sama, Kamal dan Rahim mencadangkan talian bebas aduan atau aplikasi khas aduan diwujudkan bagi memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat.

Bermula 7 Disember lalu, Harian Metro mendedahkan KLIA dijadikan pintu masuk utama kepada kegiatan penyeludupan migran dari Bangladesh yang didalangi sendiri pegawai JIM.

Op Pintas KLIA hasil koloborasi Skuad Khas Harian Metro dan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman dilancarkan selepas risikan dan penyamaran lebih tujuh bulan. Hasilnya, 11 ahli sindiket termasuk empat warga tempatan dan 33 migran yang diseludup di KLIA ditahan di lima lokasi berasingan.

Berita berkaitan

Empat Bangla kuasai KLIA [METROTV]

RM5.2 juta seludup hamba moden [METROTV]

24 jam tunggu 'sotong' [METROTV]

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 8:13am
d