utama

Belum ada tangkapan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

 

POLIS Johor menyeru orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung tangkapan suspek kes bunuh di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Azman Ayob mengesahkan maklumat yang tular di laman sosial Facebook (FB) yang turut dikongsikan di aplikasi sembang adalah tidak tepat memandangkan belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Beliau berkata, penularan maklumat itu perlu dihentikan supaya tidak mengganggu siasatan pihak polis.

"Maklumat tidak tepat. Kita seru hentikan tular liar yang boleh mengganggu siasatan.

"Isu masih dlm siasatan. Belum ada tangkapan dan kita akan makumkan jika ada perkembangan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Malam semalam, dipercayai empat lelaki menikam, melanggar dan menggilis seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an sehingga mati dalam kejadian tragis pada 7.30 malam.

Sejak pagi ini, satu berita berhubung suspek dalam kes bunuh itu yang sudah berjaya ditangkap tular di FB dan turut mendakwa kes berkenaan sudah selesai.

Azman memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

Berita berkaitan:

Ditikam, dilanggar, digilis sampai mati [METROTV]

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 9:48am
d