utama

Pengalaman indah di Tanah Suci

Oleh Ramlah Zainal

Pasti ramai sudah mengetahui hubungan rapat pelakon dan pengacara Zoey Rahman dengan penyanyi popular Siti Nordiana.

Sehubungan itu, ramai peminat menganggap Zoey dan Siti Nordiana atau Nana sedang bercinta kerana kemesraan yang terjalin itu.

Malah, Zoey dan Siti Nordiana yang menunaikan umrah bersama baru-baru ini juga mencuri perhatian netizen yang mendakwa mereka akan berkahwin di sana.

Zoey ketika dihubungi menafikan dakwaan netizen itu.

“Saya tidak menafikan kami memang berkawan rapat sejak sekolah menengah. Sebagai kawan rapat dan rakan seperjuangan dalam bidang seni, saya juga pernah muncul dalam beberapa klip videonya sebelum ini.

“Setakat ini, kami hanya berkawan rapat tetapi rata-rata peminat yang ingin kami disatukan dalam ikatan perkahwinan.

“Nana juga memiliki ciri calon isteri yang dicari iaitu wanita yang bersopan santun dan menutup aurat. Namun, soal jodoh pula, saya serahkan pada ketentuan Allah SWT,” katanya.

Ditanya perancangan umrah bersama Nana pula, kata Zoey, ia tidak dirancang dan hanya secara kebetulan.

“Ia juga kali pertama Nana menunaikan umrah bersama ahli keluarganya,” katanya.

Mengulas terperinci mengenai ibadah umrahnya tahun ini, kata Zoey, ia kali kelima dia ke Makkah dan terkini dengan kerjasama Platinum Gesture.

“Rombongan umrah kami kali ini lebih bermakna kerana bersama kawan rapat membabitkan 12 orang.

“Alhamdulillah, ibadat umrah kami berjalan lancar dengan perkhidmatan dan bimbingan Ustaz Shah Rizan dari Platinum Gesture,” katanya.

Zoey berkata, banyak pengalaman berharga sepanjang menunaikan ibadah umrah pada tahun ini.

“Apa yang menarik, Talaqi Al-Quran bersama Syeikh Idris yang juga Sheikhul Quran Masjidil Haram dan mendapat sijil penghargaan dari sana.

“Pengalaman yang sukar dilupakan ialah menunaikan solat Zohor di saf pertama, mencium Hajarul Aswad dan solat sunat di Hijir Ismail.

“Saya juga berdoa ditemukan jodoh, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan dan kesejahteraan dunia akhirat serta tidak lupa doa untuk warga Palestin,” katanya.

Selepas umrah, Zoey juga mengimpikan ibadat haji pula pada masa depan.

“Insya-Allah, jika diberi rezeki dan kesihatan yang baik, saya juga ingin terbabit dengan lebih banyak kerja kebajikan dan membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya.

Ulang-alik ke Indonesia

Zoey juga bekerja keras untuk mengembangkan bakat seninya ke Indonesia ketika ini.

Malah, dia sanggup berulang-alik ke sana jika terbabit dalam projek baru di negara seberang itu.

“Saya masih berulang-alik ke sana sampai sekarang. Ia pengalaman baru buat saya.

“Ada beberapa projek yang saya akan terbabit pada tahun depan dengan produksi di sana,” katanya.

Bercerita perkembangan karier seni di sini pula, Zoey juga akan terbabit dengan penggambaran drama Inai Yang Hilang terbitan Padi Picture dan telefilem arahan Suhaimi Lua.

“Drama lakonan saya, Mat Rukun baru saja berakhir siarannya di saluran TV9. Insya-Allah, saya akan terbabit untuk sambungan cerita itu pada tahun depan.

“Selain itu, perniagaan saya iaitu produk Mika Series juga mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 5:44am
d