utama

Terima nasihat produser hebat

Oleh Michelle Gun

Namanya mungkin kurang dikenali di tanah air sendiri, namun komposer dan pencipta lagu berusia 27 tahun ini sudah mencapai kejayaan di luar negara.

Sejak menceburi industri muzik tujuh tahun lalu, anak muda bernama Raja Muizzudin Shah atau lebih dikenali sebagai Kuizz ini sudah bekerjasama dengan beberapa nama besar antaranya Mia Martina, Danny Fernandes dan Kristina Debarge.

Pada sesi temu bual di Singapura baru-baru ini, Kuizz yang juga penyanyi memberitahu tidak rasa kecil hati sukar mencipta nama di Malaysia.

“Orang ramai mungkin kurang kenal nama saya kerana banyak melakukan kerja di belakang tadbir.

“Namun, saya berharap dapat menaikkan nama dalam industri muzik tanah air menerusi kerjasama dengan artis tempatan pada masa akan datang,” katanya.

Kuizz berada di Singapura untuk menghadiri sesi mentor selama sejam bersama produser hebat, David Foster sempena kempen Air Asia Dreams Come True.

Dia antara empat penyanyi dari rantau Asia yang berjaya ke final selepas mendapat jumlah penstriman tinggi di aplikasi muzik Spotify.

Bercerita perjalanan karier seninya, pemuzik dari Kuala Lumpur ini mula menulis dan menerbit lagu ketika mengikuti Diploma Kejuruteraan Bunyi di sebuah universiti di Melbourne, Australia.

“Saya menghantar demo lagu kepada beberapa penerbit muzik dengan harapan dapat bekerjasama dengan syarikat rakaman.

“Tuah datang apabila seorang produser yang mencari bakat muda memberi maklum balas di Twitter. Dia kemudian mencadangkan saya kepada penerbit di Amerika Syarikat,” katanya.

Pelantun lagu Till The End itu mengakui bukan mudah bertapak dalam industri muzik Amerika Syarikat kerana persaingan tinggi.

“Penerbit di sana menerima ribuan muzik demo. Penulis lagu dan produser juga sangat ramai.

“Selepas beberapa tahun menghasilkan lagu untuk artis lain, saya mahu ubah angin dan menjadi penyanyi pula,” katanya.

Bakat Kuizz dalam mencipta lagu turut menaikkan namanya di Kanada dan Jepun.

Pada Setember tahun lalu, Kuizz memperkenalkan album sulung ciptaan sendiri sepenuhnya berjudul Till The End yang mengumpul enam lagu.

Terbaru ini, Kuizz berduet dengan penyanyi Singapura, Haneri menerusi single Silences yang dihasilkan dalam tempoh tiga jam saja.

“Kami berkenalan di Los Angeles dan bersepakat untuk bekerjasama menghasilkan lagu.

“Sebenarnya rentak lagu itu sepatutnya untuk artis lain, namun mendapati ia lebih sesuai untuk Haneri,” katanya yang turut membantu menghasilkan album penyanyi tempatan, Bil Musa.

Sementara itu, berkongsi sesi mentor bersama Foster, Kuizz berkata, pertemuan itu pengalaman menakjubkan dan banyak menimba ilmu berguna daripada produser berkenaan.

“Memandangkan kami sama-sama produser, Foster lebih banyak bercerita pengalaman dia di belakang tadbir.

“Dia nasihatkan saya untuk menjadi ketua dan bukan pengikut sekiranya mahu berjaya dalam bidang ini. Saya gembira apabila Foster memberitahu menyukai lagu Silences,” katanya.

Menurut Kuizz, dia menerima e-mel daripada Spotify untuk mewakili Malaysia menyertai kempen Air Asia Dreams Come True.

“Jemputan itu datang November lalu dan ketika itu saya tidak tahu barisan penyanyi yang turut terbabit.

“Sudah tentu saya ingin menang dalam kempen ini kerana berpeluang membuat berkongsi pentas dengan Foster,” katanya.

Pembaca boleh mendengar lagu Kuizz di laman akaun Spotify miliknya yang kini mempunyai lebih 134,446 pengikut.

Selain Kuizz, tiga penyanyi lain yang turut tersenarai dalam final Air Asia Dreams Come Tue adalah kumpulan IV of Spades (Filipina), Miss Lou (Singapura) dan Abirama (Indonesia).

Peserta berjaya memperoleh jumlah penstriman tertinggi di Spotify berpeluang membuat persembahan bersama Foster pada konsert tahun depan.

Pemenang kempen berkenaan dijangka diumumkan pada Januari ini.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 6:31am
d