utama

'Pengantin ular' [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Bukan menunjuk-nunjuk, tetapi melakukannya kerana minat.

Itu kata Norosemieza Mustafa, 20, yang videonya bermain tedung selar ketika majlis perkahwinannya di Kuala Krai pada 13 Disember lalu tular di laman sosial Facebook dan mendapat kecaman daripada netizen yang menuduhnya menunjuk-nunjuk selain tidak sayangkan nyawa.

Dalam video berdurasi lima minit sembilan saat itu, Norosemieza yang berbaju pengantin, bermain tedung selar yang agresif dan kelihatan seperti tidak 'tunduk' kepadanya.

Bagaimanapun, Norosemieza berkata, tedung selar sepanjang tiga meter itu ditangkap sehari sebelum majlis perkahwinannya.

"Ular itu tidak jinak kerana baru ditangkap. Ramai cakap bahaya tetapi kami sudah sediakan penawarnya jika ada apa-apa berlaku," katanya.

Menurutnya, ada ahli keluarganya yang menghalang dia bermain reptilia berbisa itu tetapi dia tetap meneruskannya.

Katanya, dia mula meminati reptilia itu sejak berusia lapan tahun lagi.

"Ketika kecil, saya suka bermain dengan ular dan pernah tangkap ular sendiri.

"Saya juga pernah dipatuk tedung selar ketika berusia 15 tahun namun ia tidak mematahkan minat saya memelihara reptilia itu," katanya.

Katanya, dia kini membela 10 ular termasuk ular sawa dan tedung selar.

"Macam-macam ular saya bela antaranya ular sawa dan ular tedung selar dan saya tidak takut lagi untuk menjinakkan reptilia itu," katanya.

Norosemieza berkata, dia tidak terkesan dengan pelbagai kecaman yang diterima daripada netizen kerana melakukan apa yang disukainya.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 10:19pm
d