utama

Samseng kayu hoki kena penjara [METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PENGAWAL keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini, atas pertuduhan menakutkan seseorang dengan kayu hoki di sekitar bandar Klang, Sabtu lalu.

Majistret Nor Asma Ahmad memutuskan demikian selepas tertuduh, T Mathan, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan turut mengakui fakta kes dikemukakan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara jenayah dengan menghayun kayu hoki ke arah Huang Tiong Yeong, 37, di Bulatan Berkeley, Klang, 1.15 petang Sabtu lalu.

Justeru, Mathan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dia yang diwakili peguam bela Gerard Lazarus memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan ibu bapa, isteri dan anak berusia tiga tahun.

“Selain hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, anak guam saya menghidap kencing manis kronik dan perlu kerap memakan ubat.

“Pengakuan bersalah ini juga menjimatkan masa mahkamah dan dia sudah memohon maaf kepada mangsa kerana bertindak di luar jangkaan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Amirah Abdul Aziz yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal kerana mengambil kira faktor kepentingan awam termasuk membabitkan kes buli jalan raya.

Nor Asma kemudian memerintahkan penjara empat hari bermula tarikh tangkapan pada Isnin lalu dan tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan polis mengesan lelaki yang dipercayai bertindak mengugut seorang pemandu lain dengan kayu berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 37 tahun memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima sebelum sebuah kereta Proton Wira tiba-tiba keluar dari arah kiri di laluan berkenaan.

Video kejadian itu tular di Facebook (FB) selepas dipercayai dimuat naik mangsa.

Dalam video berdurasi 1 minit 30 saat itu, lelaki berkenaan dikatakan tiba-tiba keluar dari arah kiri sebelum keretanya berhenti di depan kenderaan mangsa.

Polis menahan suspek di tepi jalan di Seksyen 9, Shah Alam pada 12.40 tengah malam Isnin lalu, bagi membantu siasatan selain turut merampas sebatang kayu hoki.

Berita berkaitan

Samseng kayu hoki, polis cari [METROTV]

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 12:34pm
d