utama

Sedap suara boh...[METROTV]

Oleh Mazizul Dani

"INGATKAN rakan hanya muat naik di Facebook (FB) dia saja, tetapi sehingga kini tak henti-henti orang 'tag' video berkenaan di FB saya."

Demikian kata anggota polis, Mohamad Aqwa Anwari Ab Rahman, 25, yang video dia menyanyikan lagu bertajuk Dia Milik Orang nyanyian asal Harry Khalifah berdurasi 1 minit 27 saat, tular di FB.

Video itu dirakam rakan petang kelmarin ketika sedang bertugas tanpa disedarinya sebelum video itu dimuat naik rakannya ke FB.

Netizen turut memuji suara dan nyanyian anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu, yang sebenarnya pernah bergelar penyanyi rakaman.

"Saya pernah merakamkan satu album pada 2010 bertajuk Kekasihku yang mengandungi 10 lagu termasuk lagu 'killer', Kekasihku menggunakan nama Qua Anwari.

"Tetapi mungkin bukan rezeki saya kerana kurang mendapat sambutan dan saya pun sebenarnya tidak patah semangat atas kegagalan album berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Aqwa Anwari ketika itu bernaung dibawah syarikat rakaman NSR Record dari 2010 hingga kontraknya berakhir pada 2015 sebelum membuat keputusan menjadi anggota polis.

"Saya memang minat menyanyi sejak kecil dan sering menyanyi dengan kumpulan dikir barat di kampung halaman saya di Kota Bharu, Kelantan.

"Nyanyian memang sudah sebati dalam diri saya dan tidak menolak sekiranya ada rezeki dalam bidang nyanyian untuk saya selepas ini," katanya yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Dia bagaimanapun mengutamakan tugas hakikinya sebagai anggota polis dan selaras dengan minatnya, dia baru saja menyertai kumpulan muzik di IPD berkenaan.

"Sekarang ini memang sukar untuk menjadi penyanyi kerana terlalu banyak saingan. Bagaimanapun, saya tidak akan putus asa.

"Bagi saya ia rezeki masing-masing. Mungkin ini (nyanyian tular) adalah semangat baru untuk saya kembali dalam dunia nyanyian," katanya yang meminati genre 'slow rock'.

Mohamad Aqwa Anwari sudah bertugas di IPD berkenaan sejak setahun lalu selepas tamat latihan polis.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 10:30pm
d