utama

Nenek kaki pancing

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Kebiasaannya apabila sebut kaki pancing, hobi itu pasti dimonopoli golongan lelaki namun lain dengan seorang nenek yang masih aktif dalam aktiviti memancing sejak dari zaman anak dara lagi.

Katijah Salleh, 70, dari Kampung Batu Satu, Kuala Ketil yang memiliki enam anak dan 20 cucu, turut bergiat aktif sejak 10 tahun lalu menyertai pelbagai pertandingan memancing di negara ini.

Walaupun tuah masih belum memihak kepadanya untuk muncul juara, namun Katijah yang mesra dipanggil Kak Tam itu pernah muncul naib juara pertandingan memancing di Taman Ria Jaya di Sungai Petani pada 2015 dan terbaru tempat ketiga pertandingan memancing di Tasik Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil.

Walaupun sudah berusia, namun dia masih mampu menyaingi pemancing lebih muda demi meneruskan minatnya itu sejak dulu lagi.

Menurut Katijah, menyertai pertandingan memancing sama ada di kolam berbayar atau di tasik memang seronok kerana penganjur menyediakan hadiah wang tunai dan hamper selain boleh mendapat kenalan baru yang datang dari merata tempat.

“Di Kedah, semua lokasi memancing ada dalam kepala saya. Paling seronok memancing di Tasik Darul Aman dan Tasik Pahlawan di Jitra selain Tasik Pendang Resort (TPR) di Pendang kerana kawasan di situ luas membolehkan peserta pertandingan memancing tidak berebut tempat.

“Selain di kolam komersial dan tasik buatan, saya juga pernah menyertai pertandingan di kawasan pesisiran pantai seperti di Perlis dan Seberang Perai Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katijah berkata, semua lokasi memancing di Kedah sudah disertainya, malah luar dari negeri ini seperti Pahang, Kelantan, Selangor, Terengganu dan Perlis turut disertainya.

“Walaupun jauh, jika sihat, saya tetap menyertai pertandingan yang sering ditemani suami, Ahmad Ali, 70, yang dijadikan sebagai pembakar semangat untuk bersaing dengan peserta lain yang membawa joran serta peralatan memancing lebih canggih.

“Buat masa ini, saya dan suami yang mencari nafkah sebagai penoreh memiliki 15 joran pelbagai jenis dan model berharga serendah RM50 hingga RM100 setiap satu yang dibeli secara berperingkat,” katanya.

Mengimbas pembabitannya dalam aktiviti terbabit, ia bermula sejak bergelar anak dara yang menjadikan Sungai Ketil sebagai lokasi memancing menggunakan batang buluh sumpit (sebesar ibu jari), pelepah salak dan pelepah bertam sebagai joran, manakala benang untuk membuat jala dan tali tangsi digunakan sebagai talinya.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 6:18am
d