utama

Saya tak kacau orang pun

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"SAYA jadi begini bukan selepas bapa meninggal, tapi sebelum itu lagi," jawab pelakon, Iqram Dinzly kepada pertanyaan peminat menerusi 'live' di Instagram miliknya pagi tadi.

Iqram berkata, selepas bapanya, Muhammad Saipuddin Datuk Seri Ahmad Said meninggal dunia 10 Oktober lalu, dia lebih kenal diri dan kehidupan.

"Saya 'enjoy' kehidupan sekarang. Saya tak kacau orang pun, sebaliknya orang saja suka kacau saya. Lepas ayah meninggal, saya lebih kenal diri dan kehidupan. Malah, bapa tinggalkan banyak perkara kebaikan untuk saya.

"Orang yang sebarkan cerita ini macam pernah duduk sebilik dengan saya sehingga tahu segalanya. Sesiapa yang nak jatuhkan saya, silakan. Buat apa nak takut, saya tak pernah buat salah pun," katanya.

Menerusi 'live' itu juga, Iqram menegur sikap netizen yang sentiasa mengeluarkan kata-kata negatif terhadapnya.

"Saya malas habiskan masa layan netizen yang selalu beranggapan negatif. Mereka ini yang patut kita sedekahkan Al fatihah selalu agar dilindungi.

"Selagi netizen tak minta maaf satu persatu dengan saya, saya akan terus mendiamkan diri. Saya bersyukur dengan apa yang ada. Ini rezeki Allah," katanya.

Menurut Iqram, dia tidak kisah jika ada netizen menganggapnya gila.

Malah, Iqram menafikan dia mengamalkan sebarang ilmu tarekat atau tasawuf sehingga membuatkan dia berkelakuan sebegitu.

"Kalau orang kata saya gila, baguslah. Orang gila ini bagus sebab mereka dijanjikan syurga oleh Allah.

"Saya masih berlandaskan Al quran dan sunnah. Guru saya memerhatikan apa saya lalui sekarang. Terima kasih sahabat dan keluarga yang sentiasa berikan kata-kata positif.

"Saya minta maaf sekali lagi atas segala apa dibuat selama ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi, berkata, pihaknya akan berusaha mendekati dan cuba membantu masalah dihadapi Iqram.

"Kita nak juga tahu apa masalah dihadapi Iqram. Sekiranya ada, baru kita boleh bantu apa yang perlu. Sebelum ini memang tak tahu keadaan dia sehingga ia menjadi tular.

"Mungkin selama ini dia sorok dan tak nak berkongsi. Jadi, kita kena jumpa dulu. Ini antara peranan persatuan untuk membantu ahli," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 1:02pm
d