utama

Kepala 'bercerai' dari badan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

WANITA, 22, maut akibat putus kepala selepas Perodua Myvi dipandu terbabas lalu merempuh pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 46.4 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), arah selatan berhampiran Nilai, hari ini.

Dalam kejadian pada 9 pagi, mangsa turut tercampak keluar dari kenderaan dan terlanggar besi penunjuk arah jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu kereta dari arah Sepang menuju ke Nilai.

Katanya, kenderaan dipandu di lorong paling kanan terbabas sebelum merempuh pembahagi di tengah jalan.

"Akibat rempuhan, wanita itu tercampak keluar dari kenderaan dan terlanggar besi penunjuk arah jalan mengakibatkan kepala mangsa terputus (dari badan)," katanya.

Katanya, mangsa maut di lokasi serta merta dan sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan awam.

"Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 3:47pm
d