utama

Nak bawa Fahim pulang, tapi tiada daya

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

BAYI lelaki berusia 14 bulan, Fahim Aufa Abdul Samad terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa akibat mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Bapanya, Abdul Samad Saip Lani, 35, berkata, akibat ketiadaan alat bantuan pernafasan sendiri di rumah bayinya terpaksa ditahan di wad kanak-kanak Hospital Melaka, sejak empat bulan lalu.

Katanya, anak keduanya itu cergas seperti bayi lain namun muka Fahim Aufa akan berubah menjadi pucat dan kebiruan jika tidak mendapatkan bekalan oksigen secukupnya.

“Pada usia 10 bulan, dia kerap mengalami batuk dan sukar bernafas. Doktor sarankan saya merujuk Fahim Aufa ke Hospital Melaka, hasil pemeriksaan mendapati ada jangkitan kuman pada paru-parunya.

"Sejak itu bayi saya terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa, kalau boleh saya mahu bawa anak pulang ke rumah tapi tak mampu beli alat bantuan pernafasan sendiri dianggarkan berharga RM7,000," katanya ketika ditemui, hari ini.

Abdul Samad berkata, dia kini bergantung kepada pendapatan isteri bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan selepas berhenti daripada mengusahakan gerai menjual nasi ayam di Kampung Serkam, kerana mahu menjaga Fahim Aufa.

Bapa kepada dua anak itu berkata, sebelum ini dia pernah memohon bantuan untuk membeli alat bantuan pernafasan daripada beberapa pihak berkenaan, namun belum menerima sebarang jawapan.

"Berikutan itu saya merayu ihsan orang ramai untuk bantu kami membeli alat bantuan pernafasan supaya Fahim Aufa boleh pulang ke rumah, jika tidak dia terpaksa ditahan di wad," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Abdul Samad, 155023377348.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 6:22pm
d