utama

Hilang di Argentina kini dilihat di Malaysia

Oleh Nabihah Kamal 

 

“SAYA terseksa kerana tidak dapat jumpa anak hampir tujuh bulan," kata Elizabeth Avalos, 27, ibu Alum Langone Avalos, 7 yang  dilaporkan hilang sejak Jun lalu di Argentina dan terkini dikatakan dilihat di negara ini. 

Kisah kehilangan kanak-kanak itu tular di laman sosial sejak semalam dan mendapat perhatian netizen di negara ini. 

Elizabeth ketika dihubungi Harian Metro berkata, tiga minggu lalu, ada individu memberitahu di Facebooknya bahawa anaknya itu ada dilihat di negara ini. 

Katanya, anaknya itu didakwa dilihat bersama seorang lelaki dipercayai bekas suaminya. 

“Bekas suami saya melarikan Alum sejak 4 Jun lalu di Argentina. Dia kemudian membawa Alum ke beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan terbaru di Malaysia. 

“Pihak kedutaan Argentina turut memaklumkan ada rekod kemasukan bekas suami dan anak ke negara ini. Justeru mereka ( kedutaan) menyebarkan maklumat itu di laman sosial," katanya yang berada di Argentina.

Elizabeth berkata, dia buntu untuk menjejaki anak tunggalnya itu. 

“Orang awam pernah nampak anak saya bersama bekas suami dan seorang wanita yang berpura-pura sebagai ibunya. 

“Saya kesal dengan perbuatan individu itu dan berharap anak saya dapat kembali ke pangkuan saya," katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi kedutaan Argentina di Malaysia ditalian 012 2012464.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 1:48am
d