utama

Rezeki cili bara

Oleh Mohd Rafi Mamat

Temerloh: “Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada ahli Kelab Bintang Lama Lanchang (LOSG) di sini, yang menghulurkan bantuan memulakan projek tanaman cili api bara menggunakan kaedah fertigasi.

“Sebanyak 280 beg tanaman disediakan yang mampu memberikan pendapatan antara RM80 dan RM150 sehari apabila pengeluaran buah bermula awal tahun depan,” kata bapa tunggal, Roslan Rosli, 49.

Roslan yang menetap di Kampung Bolok Hilir Lanchang di sini, berkata, selepas kematian isteri akibat kanser otak kira-kira tiga tahun lalu, dia tidak dapat melakukan kerja kerana terpaksa menjaga dua anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Katanya, kerja kampung dilakukan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya dan kini hidup keluarganya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima anaknya RM300 sebulan.

“Saya juga menerima bantuan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang RM600 sebulan dalam bentuk baucar. Setiap bulan pelbagai barangan keperluan harian diambil di Pasaraya Darulmakmur cawangan Temerloh.

“Rumah tempat saya sekeluarga berteduh ini pemberian kerajaan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diterima dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Roslan berkata, projek tanaman cili api bara menggunakan kaedah fertigasi diusahakan diharap dapat mengubah taraf hidupnya yang kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan.

Katanya, dia tidak pernah menyangka rakan sekampung dalam LOSG sanggup memberikan bantuan kepadanya memulakan projek pertanian yang mampu memberikan pendapatan tambahan bagi menyara keluarga.

“Saya bersyukur masih ada pihak prihatin dengan nasib saya sekeluarga, hanya terima kasih saja mampu diberikan kepada mereka yang membantu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap LOSG Muhamad Majid, 52, berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM5,000 untuk menyediakan semua peralatan bagi menjayakan projek pertanian berkenaan.

“Kami ahli kelab berusaha memberikan pendapatan sampingan kepadanya (Roslan) yang kini tidak mampu melakukan kerja kerana terpaksa menjaga dua anaknya yang cacat,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 5:43am
d