utama

Curah kasih pada si meow

Oleh Helmy Abd Rahman

Marang: Sering dianggap mengganggu terutama orang ramai yang ingin menjamu selera namun kini nasib kucing jalanan sekitar daerah ini mendapat pembelaan dengan wujudnya Rumah Kucing di Taman Rekreasi Pulau Kerengga di sini.

Bukan setakat dijaga, malah 40 kucing ditempatkan di situ dilayan penuh kasih sayang beberapa petugas di taman rekreasi berkenaan dan pekerja khas untuk menguruskan haiwan berkenaan.

“Ibarat mendapat kerja idaman apabila Majlis Daerah Marang (MDM) mengambil saya bekerja secara kontrak untuk menjaga semua kucing di sini.

“Ini kerana sejak kecil saya memang sayangkan kucing dan sampai sekarang pasti mengalir air mata jika ternampak kucing sakit atau dianiaya,” kata Nurul Farah Hanim Mohd Maidin, 24, pekerja MDM yang dipertanggungjawabkan menjaga semua kucing di taman berkenaan.

Menurutnya, dalam tempoh sekejap saja, semua kucing di situ mesra dan sangat manja dengannya sehinggakan ada bertenggek di atas belakangnya ketika dia melakukan kerja pembersihan.

“Kucing di sini sangat jinak. Biasanya saya lepaskan saja mereka bermain di taman dan menjelang petang, masing-masing tahu sendiri untuk masuk ke rumah mereka,” katanya.

Penubuhan Rumah Kucing berkenaan diilhamkan sendiri Yang Dipertua MDM Rozali Salleh selepas mendapat banyak aduan mengenai lambakan kucing terbiar di beberapa premis makanan di Bandar Marang dan Kelulut.

Rozali berkata, selepas mendapat peruntukan RM20,000, kerja pembinaan dimulakan pada Jun dan dirasmikan pada Oktober lalu.

“Bila orang ramai dah tahu, banyak pula yang meninggalkan kucing mereka di sini dan sedihnya ada yang menghantar anak kucing malah ada yang mata pun belum terbuka turut ditinggalkan.

“Memang ramai juga yang tinggalkan kucing di sini dari seluruh daerah dan paling jauh dari Besut.

“Bagaimanapun, buat masa ini kalau boleh kita belum galakkan orang ramai hantar kucing mereka kerana sedang menyiapkan kandang khas untuk kucing yang baru dihantar, selepas itu kita ambil,” katanya.

Menurutnya, walaupun matlamat asal mewujudkan Rumah Kucing untuk menyelesaikan masalah kucing jalanan di daerah ini, ia kini dilihat antara produk pelancongan yang popular di Marang.

“Selain untuk melihat, ramai juga pengunjung datang mengambil kucing yang mereka minat untuk dipelihara di rumah dan kita tidak kenakan sebarang bayaran untuk tujuan itu.

“Ketika dibuka dulu ada 60 ekor semuanya tapi sekarang tinggal 40 apabila 20 ekor diambil pengunjung.

“Usaha kita juga mendapat pertolongan pertubuhan pencinta kucing yang sering menghulurkan pelbagai bantuan antaranya menyediakan makanan dan membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 5:52am
d