utama

Isteri minta cerai, gantung diri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

AKIBAT perselisihan faham dan kecewa selepas isteri minta cerai, seorang lelaki nekad menggantung diri di kawasan berdekatan sebuah rumah di Kampung Surau Pendek, Kota Bharu, hari ini.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditemui pada 7.20 pagi oleh saudaranya yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Mangsa menggunakan tali nilon yang diikat pada sebatang kayu untuk menggantung diri.

Dia tinggal di rumah berdekatan lokasi kejadian bersama isteri, seorang anak perempuan berusia setahun, ibu mentua dan empat adik ipar.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebaik mendapat laporan, polis ke lokasi kejadian dan menemui lelaki itu yang sudah meninggal dunia.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa cedera di bahagian leher dipercayai kesan ikatan tali dan tiada kecederaan lain.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

"Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 5:55pm
d