utama

Asalnya tak suka menyanyi

Oleh Ramlah Zainal

Lebih tiga tahun meniti pahit getir dunia glamor sudah cukup mematangkan penyanyi Elizabeth Tan dalam menentukan hala tujunya di persada seni tanah air.

Bagi Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, 24, kini sampai masanya dia membina nama dalam bidang lakonan yang diimpikan sejak dulu.

“Sebenarnya, bidang nyanyian bukan minat saya sejak kecil. Saya juga tidak suka buat persembahan depan orang ramai kerana pemalu.

“Sebenarnya saya serba salah apabila dibayar dengan lumayan oleh penganjur sedangkan tidak berhak untuk dibayar sebanyak itu.

“Namun, rezeki lebih berpihak dalam bidang nyanyian dan saya anggap ia proses pembelajaran untuk mengembangkan karier seni,” katanya.

Elizabeth berkata, dia juga nekad berehat seketika daripada bidang nyanyian sejak Jun lalu.

“Saya berehat seketika daripada bidang nyanyian untuk fokus pada kesihatan dan mencari diri serta hala tuju dalam bidang seni.

“Ternyata, ada rezeki dalam bidang lakonan kerana saya juga dapat tawaran projek filem, telemovie dan drama pada tahun ini,” katanya.

Elizabeth juga berharap drama bersiri lakonannya, My Darling Inspektor Daniel yang sudah ditayangkan itu membuka lebih banyak ruang untuk mengembangkan karier lakonannya.

Dalam drama bersiri arahan Aziz M Osman dan terbitan Skop Productions itu, Elizabeth bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz dan Siti Elizad selaku teraju utamanya.

“Saya banyak menimba ilmu lakonan dengan pengarah dan Aaron sendiri di lokasi penggambaran drama itu,” katanya.

Selain drama bersiri My Darling Inspektor Daniel, dia turut berlakon dalam telefilem The Berlian Job, Gerak Khas dan filem indie berjudul Escape dengan Kamal Adli.

Mengulas watak diimpikan pula, Elizabeth berkata, dia teringin membawakan watak lasak yang membabitkan aksi fizikal selepas ini.

“Jika dulu saya banyak bawa watak cameo, tapi sekarang sudah bersedia untuk beraksi sebagai heroin pula.

“Saya juga impi untuk bekerja dengan pengarah Michael Ang dan pelakon hebat Shaheizy Sam, sekali gus memantapkan prestasi lakonan,” katanya.

Kembali menyanyi tahun depan

Selepas berehat selama enam bulan, Elizabeth merancang kembali dalam bidang nyanyian tahun depan.

“Saya sudah tamat kontrak dengan syarikat pengurusan Faizal Tahir sejak Mac lalu. Dalam tempoh tiga tahun setengah, saya sempat menghasilkan empat single yang turut mendapat sambutan peminat,” katanya.

Walaupun fokus pada lakonan, Elizabeth berkata, dia tidak meninggalkan terus bidang nyanyian.

“Saya tidak nafikan nama mula dikenali ramai dalam bidang nyanyian dan dapat lebih banyak undangan menyanyi setiap minggu.

“Saya baru menandatangani kontrak dengan satu syarikat yang akan menguruskan karier seni termasuk dalam bidang nyanyian tahun depan,” katanya.

Mengenai single Darling pula, kata Elizabeth, drama My Darling Inspektor Daniel turut menaikkan populariti lagu berkenaan. Ia juga edaran syarikat rakaman Warner Music.

“Saya diminta menghasilkan lagu Darling pada saat akhir untuk dijadikan lagu tema drama berkenaan.

“Saya menulis lagu itu setengah jam saja ketika menaiki perkhidmatan Uber dan tidak sangka lagu itu diterima peminat,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Elizabeth mengakui dia tidak mempunyai teman istimewa untuk memenuhi kekosongan hatinya ketika ini.

“Jika dulu, saya takut untuk hidup solo tanpa ditemani kekasih, kini tidak lagi. Selepas putus cinta hingga buat hidup saya trauma dulu, saya selesa dengan status solo sekarang,” katanya.

Ditanya dirinya yang suka berkawan dengan lelaki Melayu, Elizabeth tidak menafikannya.

“Pada pandangan saya, lelaki Melayu seorang yang kelakar dan lebih berfikiran terbuka.Tapi sebenarnya, saya tidak kisah berkawan dengan lelaki bangsa apa pun,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 1:51am
d