utama

City sukar dicabar

Oleh AFP

London: Manchester City terus gah melebarkan rekod bersih apabila melakar kemenangan ke-17 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membelasah Bournemouth 4-0 kelmarin sambil penyerangnya Sergio Aguero meraikan gol ke-100 buat kelabnya.

Aguero muncul watak penting dengan meledak dua gol disamping mengilhamkan gerakan gol Raheem Sterling untuk meletakkan skuad kendalian Pep Guardiola kekal tanpa kalah dalam 17 aksi liga.

Ketika ini, City mendahului carta liga dengan kelebihan 13 mata di depan pencabar terdekat di tangga kedua, Manchester United yang gagal meraih tiga mata apabila sekadar terikat 2-2 berdepan Leicester yang hanya bermain 10 pemain.

Guardiola yang ditemui pada sidang media sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan berkata, beliau amat gembira dengan keputusan positif itu dan memuji sumbangan Aguero yang disifatkannya terlalu luar biasa.

“Dia seorang pemain yang istimewa dan bertaraf legenda. Saya gembira apabila melihat aksinya dan dia juga turut menjaringkan gol.”

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Etihad itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menggegar gawang pelawat menerusi tandukan Aguero pada minit ke-27.

Penyerang Argentina itu kemudiannya membantu Sterling meraih gol kedua di minit ke-53, sebelum dia sekali lagi mencetak nama untuk gol ketiga City pada minit ke-79.

Pemain gantian, Danilo menutup malam gemilang penyokong City dengan gol keempat di penghujung babak kedua sambil Bournemouth pula kini terhumban ke zon penyingkiran susulan kekalahan itu.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 2:04am
d