utama

'Tolonglah, saya nak sekolah'

Oleh Rosli Ilham

“TOLONGLAH, saya nak sekolah,” demikian rayu Nurul Jannah Abdullah, 7, yang memohon pihak berwajib mengeluarkan pasport bagi membolehkannya membuat pas pelajar untuk bersekolah berikutan ibu bapa kandungnya bukan warga Malaysia.

Kanak-kanak itu yang sebelum ini bersekolah Sekolah Kebangsaan Meraga Beris, Kemaman sangat sedih selepas mendapat surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu memaklumkan dia tidak lagi dibenar meneruskan sesi persekolahan tahun depan.

Difahamkan, ibu dan bapa Nurul Jannah adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dihantar pulang pada 2010, menyerahkan kanak-kanak berkenaan untuk dipelihara pasangan Zulkifli Yunus, 45, dan Junaidah Othman, 45, yang menetap di Kampung Bukit Petunjuk, Kijal, Kemaman.

Junaidah berkata, untuk sesi persekolahan 2018, kerajaan mengenakan syarat mewajibkan murid dan pelajar bukan warga Malaysia mengemukakan pasport di Jabatan Imigresen sebelum diberikan pas pelajar bagi meneruskan persekolahan.

“Saya dan suami mengambil dan menjaga Nurul Jannah sejak dia berusia sembilan hari Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu dan tentu saja sudah menganggapnya seperti anak kandung sendiri.

“Memang terkejut apabila dapat tahu Nurul Jannah tidak lagi dibenarkan meneruskan persekolahan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Petunjuk, Kijal, Kemaman, hari ini.

Sementara itu, Junaidah dan suami bertekad menghantar kanak-kanak itu meneruskan pembelajaran di sekolah swasta yang memerlukan belanja besar walaupun mengakui berdepan masalah kewangan.

"Kami bukan orang senang, ditambah pula suami yang sebelum ini bekerja sebagai jurukimpal mengambil keputusan berhenti kerja buat sementara bagi menyelesaikan masalah persekolahan Nurul Jannah.

"Apa yang penting, kami tak mahu dia ketinggalan dalam pelajaran.

"Segala surat menyurat serta dokumen yang diperlukan sudah pun kami sediakan namun sehingga kini pasport yang dipohon belum diluluskan," katanya yang turut memelihara seorang lagi anak angkat perempuan warga tempatan berusia 12 tahun.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin berkata, pihaknya meminta keluarga Nurul Jannah mengemukakan surat rayuan kepada Pejabat Pelajaran Terengganu supaya kanak-kanak itu dapat meneruskan persekolahan seperti sebelum ini.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 7:42pm
d